PLUS jangka trafik meningkat kepada 1.6 juta kenderaan

PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 1.6 juta kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina ini. - Foto Bernama
PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 1.6 juta kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina ini. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula 28 Januari sehingga 6 Februari ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan buat orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

Menurutnya, orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

"Untuk ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengah hari.

"PLUS menggalakkan orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka berpandukan kepada TTA. Ia bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Cadangan waktu perjalanan oleh PLUS.
Cadangan waktu perjalanan oleh PLUS.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zakaria mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

Pada ketika ini katanya, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

"Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan.

"Perancangan perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan keselamatan, selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak," ujar beliau.

Tambahnya, pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari.