Isyarat rakyat perlu bangkit

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih rendah memberi signal jelas untuk semua pihak membuka mata dan bangkit berperanan menyelamatkan negara daripada terus merudum menuju kehancuran akibat rasuah.

Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, meskipun kecewa dengan perkembangan terbaharu itu, rakyat Malaysia tidak boleh terus berdiam diri sebaliknya usaha memerangi rasuah perlu terus diperkasakan.

"Jelas bahawa rasuah dan lemahnya integriti boleh memberi implikasi negatif yang memberi impak kemunduran ekonomi dan menyebabkan kesengsaraan rakyat

"Akauntabiliti tertinggi terletak di bahu pemimpin politik yg perlu mempunyai iltizam dan keberanian untuk memberi komitmen perubahan dan menjadikan antirasuah sebagai agenda utama negara," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI) terus jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, perkembangan tersebut perlu menjadi titik tolak bagi menggerakkan perubahan negara yang lebih bermaruah.

Katanya, ini boleh dilakukan oleh golongan muda dengan hak mengundi yang telah diberi pengiktirafan bermula usia 18 tahun.

"Peluang ini adalah titik mula integriti di hidupkan dari nadi anak muda utk mengubah halatuju negara yang lebih bermaruah dan berkredibiliti.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat juga harus cakna dan peka memilih pemimpin, peka terhadap dunia rasuah yg berevolusi, peka terhadap dunia teknologi yang boleh menjadi pintu-pintu rasuah," katanya.

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, langkah yang perlu dilakukan bagi membaiki CPI Malaysia dan imej negara pada mata dunia adalah dengan mengadakan reformasi institusi.

Tegasnya, reformasi institusi penting terutamanya melibatkan kemandirian SPRM dan penggubalan undang-undang pendanaan politik.

Menurutnya, lebih banyak usaha perlu dilakukan daripada peringkat kerajaan termasuk menimbang permohonan pelaksanaan cadangan-cadangan pembaharuan daripada pihak masyarakat umum.

"Perlu sebuah badan baharu diwujudkan atau mengembalikan peranan GIACC bagi memantau proses perjalanan integriti dalam kalangan warga pentadbiran atau pelaksana polisi.

"Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan semula semua inisiatif-inisiatif dalam membasmi jenayah korupsi," katanya.