FAM perhalusi cadangan badan siasatan bebas

Hamidin (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 di Wisma FAM minggu lalu. -Foto Bernama
Hamidin (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2021-2025 di Wisma FAM minggu lalu. -Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia mempertimbangkan cadangan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya supaya ketua jurulatih turut diberi tanggungjawab menggalas portfolio sebagai pengurus.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, cadangan itu telah dibawa kepada Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O'Donell sebelum keputusan dapat dibuat.

“Saya ambil maklum mengenai cadangan untuk melantik jurulatih sebagai pengurus pasukan. Malah, saya sudah minta Pengarah Teknikal untuk bincang perkara tersebut dengan jurulatih baharu.

“Kita kena lihat perkara ini secara menyeluruh baik dari segi kebaikan dan keburukannya jika kita setuju untuk lantik jurulatih sebagai pengurus pasukan.

“Kita juga kena tanya individu itu sendiri sama ada dia mahu atau tidak menjawat jawatan tersebut. Kita akan terima segala cadangan yang akan bantu mengembalikan prestasi pasukan kebangsaan.

“Jika ditanya kepada saya secara peribadi ia sudah tentu akan ada banyak kebaikan kepada pasukan kebangsaan sebab ketua jurulatih ada kuasa untuk urus skuad yang dimahukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu, cadangan badan siasatan bebas itu mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong mahupun pengkritik bola sepak tempatan termasuklah Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan.

Sathianathan berpandangan cadangan itu akan memberikan kelebihan buat jurulatih untuk mengatur sebarang perancangan dengan lebih teliti tanpa sebarang gangguan pihak lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hamidin berkata, FAM bersetuju untuk menyenaraikan seorang jurulatih tempatan bagi membantu pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

“Kami sudah mempunyai beberapa nama bagi mengisi jawatan tersebut dan sesi temu duga bersama Pengarah Teknikal sedang berlangsung ketika ini.

“Jadi kami akan bagi kuasa kepada Pengarah Teknikal untuk menentukan siapa yang layak menjawat jawatan itu. Calon-calon penolong jurulatih itu sudah pun ada.

“Sudah tentu kami akan meletakkan seorang penolong jurulatih (tempatan) bagi membantu ketua jurulatih baharu mengendalikan pasukan kebangsaan,” jelasnya.