Lembaran baharu atlet profesional

Jahaberdeen (dua dari kiri) bersama Zii Jia (tengah) selepas mengadakan perjumpaan di ABM, Bukit Kiara pada Selasa. -Foto Bernama
Jahaberdeen (dua dari kiri) bersama Zii Jia (tengah) selepas mengadakan perjumpaan di ABM, Bukit Kiara pada Selasa. -Foto Bernama
A
A
A

PENGAKHIRAN kemelut antara jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang hampir menemui titik penyelesaian disifatkan sebagai lembaran baharu kepada lebih ramai atlet negara berstatus profesional pada masa depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan senario terbaharu itu petanda positif menjadikan sukan sebagai kerjaya biarpun dilihat sebagai sesuatu yang masih baharu untuk dijadikan sebagai satu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Apa yang bagus pengakhiran kemelut ini menyaksikan kedua-dua pihak baik BAM mahu pun Lee Zii Jia bersikap rasional apabila sekali lagi meletakkan kepentingan negara dalam mencari titik tolak menyelesaikan isu ini.

“Perkembangan ini juga merupakan satu senario baharu sukan badminton Malaysia dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain profesional negara pada masa depan.

“Jangan terperanjat jika selepas ini senario sama juga berlaku terhadap persatuan sukan kebangsaan lain kerana di Eropah senario ini telah pun berlaku dalam sukan olahraga dan renang yang akan bergerak secara profesional,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Beliau turut menyarankan supaya BAM mewujudkan mekanisme baharu bagi membolehkan badan induk itu mendapat pulangan berdasarkan konsep menang-menang jika terdapat pemain mengambil keputusan keluar dari Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Kemelut Zii Jia dan BAM ini juga satu isyarat kepada badan induk itu untuk melakukan perubahan terhadap dasar badan terutamanya exit policy berkaitan isu perjanjian dengan para pemain pada masa depan.

“Ini trend yang saya nampak sedang berlaku dalam arena sukan dunia apabila kebanyakan atlet-atlet sukan sedang bergerak menjadi atlet independent seperti pemain tenis dunia.

Artikel Berkaitan:

“Mereka tidak terikat dengan badan sukan negara masing-masing, namun tetap memberikan komitmen apabila dipanggil badan induk untuk menggalas cabaran negara dalam sesuatu kejuaraan.

“Senario ini adalah lebih kepada endorse nilai profesionalisme dalam industri sukan negara. Malah, BAM sebenarnya harus bangga apabila memberi ruang kepada para pemainnya untuk bergerak secara profesional,” ujarnya.

Pada Jumaat, BAM memutuskan tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari 2022.

Ia berikutan keputusan pemain berusia 23 tahun itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lalu untuk bergerak sebagai pemain profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.