Tiga rumah kayu terbakar

A
A
A

TUMPAT - Tiga buah rumah yang terletak di belakang Pejabat Pos Wakaf Bharu musnah dalam kebakaran di Wakaf Bharu, hari ini.

Kebakaran jam 6.30 petang itu memusnahkan kesemua rumah kayu tersebut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila penghuni rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri.

Azizudin Ali, 58, berkata, dia mengetahui rumahnya terbakar selepas isterinya, Nor Asiah Mat Zain, 57, menghubunginya ternampak api di dapur rumah emak saudaranya.

"Rumah kami dekat-dekat, apabila diberitahu rumah terbakar, saya hanya risaukan emak saudara.

" Mujurlah emak saudara saya tiada di rumah kerana ke Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, kebakaran itu terus merebak ke rumah ayahnya, Ali Ibrahim, 82, dan kemudiannya rumahnya sendiri.

"Saya ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Pasir Mas kerana ada urusan kerja di sana.

Artikel Berkaitan:

" Saya hanya mampu memberi arahan kepada isteri yang tinggal bersendirian di rumah itu supaya keluar dan alihkan kereta dan motosikal ke tempat selamat.

"Ayah pula yang tinggal seorang diri di rumahnya diselamatkan jiran," katanya.

Kebakaran itu juga menyebabkan wang kutu Ras Atifa, 30, merupakan anak Azizudin sebanyak RM2,000 hangus.

Sementara itu,Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.36 petang.

Katanya, seramai 32 anggota bomba dengan tiga jentera dari Balai Bomba Tumpat, Pengkalan Kubor dan Darul Naim bergegas ke lokasi memadam kebakaran tersebut.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.