Shahrul Zaman tinjau fasiliti, kemudahan di ISN

Shahrul Zaman diberi penerangan ketika meninjau kemudahan di ISN pada Selasa. - Foto Sportflex Media
Shahrul Zaman diberi penerangan ketika meninjau kemudahan di ISN pada Selasa. - Foto Sportflex Media
A
A
A

KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya 'turun padang' bagi meninjau fasiliti serta kemudahan sukan yang ada di Institut Sukan Negara (ISN).

"Saya berkesempatan melawat fasiliti serta kemudahan sukan yang ada di ISN bagi melihat kemudahan yang disediakan untuk atlet khususnya mereka yang terbabit dengan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

"Selaku ketua kontinjen, saya teruja dengan kemudahan yang disediakan untuk atlet kita. Kemudahan yang ada di ISN adalah bertaraf dunia dan pegawai serta kakitangan yang ada juga sentiasa komited bagi membantu atlit berada pada tahap yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Shahrul Zaman sempat bertemu jaguh berbasikal trek negara, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dan rakan seperjuangannya yang sedang membuat pemeriksaan kesihatan di ISN.

"Beliau berada dalam keadaan yang baik serta tidak sabar untuk kembali berjuang untuk negara. Saya meminta beliau untuk terus gigih berlatih serta sentiasa menjaga diri supaya terhindar daripada pandemik yang masih lagi melanda negara," ujarnya yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Kontinjen Malaysia dijangka menghantar kira-kira 140 atlet ke Birmingham dengan negara diperuntukkan kuota 92 tempat manakala selebihnya berdasarkan kelayakan mengikut merit.

Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Artikel Berkaitan: