Tekad bawa Negeri Sembilan pergi lebih jauh

Ahmad Khuzaimi Piee
Ahmad Khuzaimi Piee
A
A
A

BEKAS pertahanan UiTM FC, Ahmad Khuzaimi Piee menyifatkan dua musim bersama pasukan itu telah berjaya membentuk dirinya menjadi pemain lebih berkualiti sehingga dipanggil menyertai Negeri Sembilan FC untuk terus kekal beraksi di pentas Liga Super.

Khuzaimi tidak menolak kariernya bersama Melaka pada musim 2019 sebelum ini agak tenggelam dan keputusan untuk berhijrah ke UiTM FC selama dua musim sedikit sebanyak memberi pengalaman berbeza untuk terus memperbaiki prestasi dengan lebih cemerlang.

Selepas UiTM FC turun ke Liga Premier pada musim ini, pemain berusia 29 tahun ini bersyukur kudratnya ditagih oleh skuad kendalian K Devan dan semestinya dia enggan melepaskan peluang untuk terus mempertaruhkan aksi di saingan Liga Super.

“Bagi saya, ini adalah rezeki yang kita tidak sangka sebab ada pasukan seperti Negeri Sembilan yang inginkan khidmat saya, jadi mestilah saya tidak boleh melepaskan peluang ini.

“Memang masa dengan Melaka sebelum ini, prestasi saya agak menurun, dan saya berpindah ke UiTM dengan harapan dapat memperbaiki balik prestasi diri dengan lebih cemerlang.

“Alhamdulillah, saya boleh nampak perubahan pada diri berbanding dengan musim-musim sebelum ini dan sekarang tugas saya adalah untuk terus mendapatkan kepercayaan jurulatih (K Devan) untuk bermain dengan lebih kerap,” jelasnya.

Bagaimanapun, Khuzaimi tidak menolak persaingan pastinya lebih sengit memandangkan pasukan juara Liga Premier 2021 ini dibarisi oleh pemain-pemain hebat lain termasuklah muka-muka baharu untuk musim ini.

Apa yang penting, sasarannya adalah untuk cuba membantu skuad ini sebaik mungkin apatah lagi mereka juga mempunyai misi lebih besar selepas layak ke Liga Super, musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini mereka beraksi di Liga Premier, jadi sekarang tanggungjawab pastinya lebih berbeza apabila dah naik ke Liga Super.

“Saya hanya ingin buat yang terbaik dengan pasukan untuk kita cuba sekurang-kurangnya terus kekal di pentas Liga Super dan yang penting pemain semua boleh ikut apa yang diinginkan oleh jurulatih.

“Kita pun dah mengharungi tiga aksi persahabatan dan selepas ini akan ada beberapa lagi perlawanan dalam pra-musim dan harapnya dalam tempoh ini persediaan akan berjalan dengan lebih baik”, tambahnya.

Pada musim lalu, Khuzaimi telah melakukan sebanyak 14 penampilan dalam kesebelasan utama daripada 22 perlawanan sepanjang beraksi bersama UiTM FC.