SADA sedang dipulihkan: MB Kedah

Muhammad Sanusi (tiga kiri) menyerahkan sijil kepada seorang peserta pada Majlis Perasmian Pusat Keusahawanan Komuniti Pendang dan Karnival Jualan Harga Patut sempena Sambutan 50 Tahun Angkasa di Pendang pada Selasa.
Muhammad Sanusi (tiga kiri) menyerahkan sijil kepada seorang peserta pada Majlis Perasmian Pusat Keusahawanan Komuniti Pendang dan Karnival Jualan Harga Patut sempena Sambutan 50 Tahun Angkasa di Pendang pada Selasa.
A
A
A

PENDANG - Syarikat Air Darul Aman (SADA) sedang berusaha memulihkan prestasi kewangan syarikat tersebut bagi menjana keuntungan dan digunakan untuk menampung kos baik pulih infrastruktur air di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, proses baik pulih kini sedang berjalan selepas SADA memperoleh keuntungan sehingga RM37 juta pada tahun 2021

Menurutnya, beliau mempunyai keyakinan terhadap pemimpin dan kakitangan SADA bagi menyelesaikan masalah air secara berperingkat di Kedah yang telah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sejak tahun 2019, SADA mengalami kerugian RM36 juta dan tak mampu baik pulih pam, loji, paip dan pendawaian rosak.

SADA perlu untung untuk serap semua kos ini.

"Pada tahun 2020, kita ambil alih dan berjaya mendapat keuntungan RM1 juta.

Kita guna untuk baiki pulih sikit-sikit.

"Pada tahun 2021, dengan usaha menjimatkan kos dan kita buat sendiri operasi, kita berjaya untung RM37 juta dan keuntungan ini yang sedang digunakan untuk membuat baikpulih infrastruktur sedia ada di bawah SADA," katanya pada sidang akhbar di Bazar Rakyat Pendang, dekat sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Keusahawanan Komuniti Pendang dan Karnival Jualan Harga Patut sempena Sambutan 50 Tahun Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Hadir sama Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selain prestasi SADA yang mahu dipulihkan, masalah air tidak berhasil (NRW) di Kedah juga perlu diatasi kerana telah mencecah 49 peratus.

"Kita juga sedang berusaha menyelesaikan masalah NRW di samping sedang menyiapkan lima loji rawatan air (LRA) di Kedah.

"Kos untuk selesaikan masalah NRW ini adalah sebanyak RM900 juta dan akan dilakukan dengan kerjasama syarikat terpilih melalui kawalan ketat oleh satu badan yang akan kita wujudkan. Kita sasar kurangkan NRW sehingga ke 25 peratus," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, sektor koperasi di seluruh negara semakin pulih selepas banyak sektor antaranya pelancongan kembali dibenarkan beroperasi semula.

Menurutnya, kebenaran beroperasi ini menyaksikan ahli-ahli mereka dapat menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa selepas terjejas akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu.