Syed Saddiq mungkin bertanding PRN Johor

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani berkata, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.

"Sekiranya Muda bertanding, kita akan pastikan calon daripada parti ini merupakan anak tempatan,” katanya di Pejabat Urusan Parti Muda Johor di Kempas di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Muda Johor yang kini mempunyai keahlian lebih 12,000 orang sedang mempersiapkan jentera dan manifesto parti dalam menghadapi PRN itu selain bakal menggerakkan jentera di semua kawasan pilihan raya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, menewaskan penyandang Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan calon Pas, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Mengulas mengenai kerjasama dengan PH Johor bagi menghadapi PRN ini, Mohd Azrol berkata, gabungan parti politik itu belum mengadakan sebarang perbincangan secara serius dengan Muda Johor berhubung perkara itu.

Katanya, pada masa ini, semua gerak kerja Muda dilakukan secara bersendirian namun tiada masalah sekiranya perlu bertanding secara solo malah telah menyenaraikan senarai calon bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk diputuskan biro politik Muda.

"Jika bertanding solo, kita yakin boleh menang di beberapa kerusi DUN melibatkan kawasan Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar, namun seandainya kerjasama politik wujud melibatkan Muda kita menyasarkan lebih daripada 10 kerusi yang diyakini mempunyai kelebihan buat kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Johor merupakan medan pertama Muda bertanding dalam PRN selepas parti itu mengambil sikap berkecuali pada PRN Melaka tahun lepas susulan tindakan PH mencalonkan kembali dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) yang dianggap penyebab PRN Melaka terpaksa diadakan. - Bernama