Permohonan URUS dilanjut sehingga 31 Mac depan

Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Tarikh akhir permohonan bagi Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan atau URUS yang sepatutnya berakhir pada 31 Januari ini dilanjutkan sehingga 31 Mac depan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, untuk pelanggan B50 yang mengikuti program bantuan banjir, tarikh permohonan URUS turut dilanjutkan.

"Tarikh tutup permohonan URUS bagi B50 menerusi program bantuan banjir ini dilanjutkan kepada 31 Julai 2022 atau selepas tamat tempoh program bantuan banjir, yang mana lebih awal," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Program URUS diperkenalkan untuk meringankan beban rakyat B50 dalam membuat pembayaran ansuran untuk segala komitmen pembiayaan yang dibuat dengan bank.

Melalui URUS, peminjam berpeluang untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangan terutama sekali di masa mencabar ketika pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

URUS merupakan pelan pembayaran pembiayaan yang komprehensif di mana pelanggan boleh mendapat pengecualian untuk pembayaran keuntungan selama tiga bulan dan pengurangan pembayaran ansuran untuk tempoh 24 bulan.

BNM menjelaskan, lanjutan tempoh permohonan itu dibuat untuk meringankan beban ditanggung golongan B50 yang layak.

"Walaupun aktiviti ekonomi telah dibenarkan untuk diteruskan, kita tahu bahawa masih ramai yang memerlukan ruang bernafas sebelum mereka boleh berdiri sendiri terutamanya memandangkan bencana banjir baharu berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan, ujarnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh menghubungi bank melalui laman sesawang, talian telefon atau hadir ke mana-mana cawangan bank.