MAIWP lancar Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022

Dua dari kiri: Idris dan Mohd Daud ketika gimik perasmian Program Pelancaran Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022 di Dewan Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda di sini.
Dua dari kiri: Idris dan Mohd Daud ketika gimik perasmian Program Pelancaran Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022 di Dewan Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022 untuk mengaktifkan sumber baharu dana supaya pihaknya terus menyantuni masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, MAIWP membuat perkiraan dan perhitungan awal bagi mendepani keadaan kewangan dan ekonomi yang mungkin menekan golongan B40 amnya dan asnaf menerusi perancangan secara pre-emptif.

Oleh sebab demikian, sumber baharu pendapatan MAIWP perlu diaktifkan sebagai satu program berterusan dengan berfokus meremajakan dan memasyarakatkan wakaf dalam semua dimensi aset wakaf, penyumbang serta bidang wakaf.

Beliau berharap setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi mutawalli kepada aset wakaf mereka dalam tempoh tahun 2022 hingga 2023.

"MAIWP akan menggerakkan aktiviti jaringan pintar dengan membuat hubungan strategik dengan beberapa pihak yang mempunyai kepentingan yang sama dengan MAIWP dalam memenuhi objektif tertentu sejak tahun lalu.

"Konsep menyumbang kepada asnaf antara MAIWP dan badan-badan ini seperti PNB akan diteruskan yang mana setiap RM1 wang zakat akan diganda menjadi RM2 untuk melebar luaskan cakupan dan impak pembangunan program sosio ekonomi masyarakat Islam.

Idris (dua dari kiri) menyemai anak pokok cili ke dalam 'polybag' di Laman Tani Darul Kifayah, di sini pada Selasa.
Idris (dua dari kiri) menyemai anak pokok cili ke dalam 'polybag' di Laman Tani Darul Kifayah, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelancaran Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022 dan Perasmian Projek Agroprenuer Asnaf di Dewan Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda di sini.

Artikel Berkaitan:

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, sambil disaksikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, dan Pengerusi MAIWP, Mohd Daud Bakar, di Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda di sini.

Dalam perkembangan lain, MAIWP juga melaksanakan inisiatif baharu melalui Projek Laman Pertanian Bandar di bawah Program ‘Pembangunan Lestari’ MAIWP dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Syarikat Grasicili.

Mohd Daud berkata, projek perintis tersebut bermula sejak awal Disember lalu, memilih projek penanaman pokok cili di atas sebidang tanah seluas 2.3 hektar dengan penyertaan seramai 10 orang peserta daripada keluarga asnaf atau B40 di kawasan sekitar.

Ujarnya, elaun tetap akan diberikan kepada peserta oleh syarikat, selain kiraan kadar keuntungan akan dikongsikan bersama peserta.

Tiga dari kiri: Idris dan Mohd Daud bersama para peserta Projek Laman Pertanian Bandar di Laman Tani Darul Kifayah, di sini pada Selasa.
Tiga dari kiri: Idris dan Mohd Daud bersama para peserta Projek Laman Pertanian Bandar di Laman Tani Darul Kifayah, di sini pada Selasa.

Selain itu, tempoh penyertaan setiap peserta adalah selama setahun atau dua musim dengan dibantu teknologi dalam pengurusan tanaman terutamanya internet kebendaan (IOT); serta pendedahan kepada peserta-peserta dalam urusniaga penjualan hasil.

"Sebanyak 21,000 polybag akan ditanam dengan cili dengan unjuran setiap satu polybag akan menghasilkan dua kilogram (kg) cili.

"Hal Ini bermakna sebanyak 42,000 kg atau 42 tan cili dapat dikeluarkan bagi setiap musim atau setiap enam bulan," katanya.

Dalam majlis sama, MAIWP yang diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya menyerahkan simbolik replika cek Bantuan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) KAFA di Wilayah Persekutuan berjumlah RM1.8 juta.

Selain itu, Bantuan Elaun Guru KAFA Di Wilayah Persekutuan Tahun 2022 sebanyak RM11.52 Juta turut diberikan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.