Piala Asia: 'Malaysian Tigress' dibenam Jepun

Barisan pemain hoki Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan mengadakan sesi latihan sebelum perlawanan persahabatan untuk kempen Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Selasa. - foto: Bernama
Barisan pemain hoki Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan mengadakan sesi latihan sebelum perlawanan persahabatan untuk kempen Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Selasa. - foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skuad Hoki Projek Khas Wanita Kebangsaan gagal mara ke pusingan separuh akhir Piala Asia 2022, selepas dibelasah 0-8 oleh Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A di Muscat, Oman malam Selasa.

Aksi di Kompleks Sultan Qaboos itu menyaksikan Jepun menjaringkan enam gol padang dan dua gol menerusi pukulan sudut penalti bermula dengan jaringan pembukaan kapten Yuri Nagai pada minit keempat.

Jepun meneruskan aksi garang pada suku kedua dengan Kaho Tanaka menyumbang dua gol padang pada minit ke-16 dan ke-28 sebelum Shihori Oikawa menjaringkan gol pada minit ke-20 melalui pukulan sudut penalti.

Mai Toriyama terus menambah derita skuad 'Malaysian Tigress' apabila menyempurnakan gol kelima Jepun beberapa saat sebelum aksi separuh pertama berakhir.

Bersambung babak kedua menyaksikan Jepun memperoleh gol keenam pada minit ke-39 menerusi Kaho Tanaka yang memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol pasukan negara sekali gus melengkapkan jaringan hatriknya pada perlawanan tersebut.

Dua lagi gol Jepun masing-masing dijaringkan Kana Urata pada minit ke-48 selepas memperoleh pukulan sudut penalti sebelum Sakurako Omoto menutup tirai perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu dengan menjaringkan gol kelapan pada minit ke-57.

Menurut kenyataan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), perlawanan itu juga menyaksikan penyerang skuad negara Nuramirah Shakirah Zulkifli dipilih selaku pemain terbaik.

Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM Paul Revington berkata, beliau sedikit kecewa dengan prestasi skuad negara pada suku kedua yang kurang memuaskan dari segi kurang aspek keamatan dan pertahanan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, walaupun gagal untuk membolosi gawang lawan, skuad negara yang dibarisi pemain muda yang sedang memburu pengalaman dan pendedahan menunjukkan prestasi dan perkembangan yang positif.

"Walaupun banyak gol dibolos ketika menentang India dan Jepun, adalah penting bagi saya untuk menegaskan bahawa pasukan kejurulatihan dan kakitangan pengurusan kami amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh pasukan ini untuk bermain secara positif dan menentang dua pasukan hoki Olimpik yang kuat,” katanya.

Sebelum ini, pasukan negara mengalami kekalahan besar 0-9 di tangan juara bertahan India pada aksi pembukaan sebelum bangkit menewaskan Singapura 2-0. Malaysia Tigress akan meneruskan perjuangan bertemu Indonesia untuk perlawanan klasifikasi kedudukan lima hingga lapan, esok (26 Jan) - Bernama