X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Tiada sebab perlu ikut Johor bubar DUN: PKR Perak

Tan Kar Hing
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menegaskan pentadbiran kerajaan negeri Perak yang dipimpin UMNO tidak mempunyai sebab untuk mengikut jejak Johor bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Pengerusinya, Tan Kar Hing berkata, kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mendapat sokongan daripada pembangkang untuk meneruskan usaha membangunkan negeri.

Menurut beliau, sehingga kini pembangkang masih berpegang kepada persefahaman yang dicapai ketika Saarani diangkat menjadi Menteri Besar Perak menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 9 Disember 2020.

"Waktu itu kami meletakkan nasib rakyat menjadi agenda yang paling utama supaya segala agenda atau polemik politik dihentikan. Tumpukan segala kerja-kerja untuk kebajikan, bantuan dan pembangunan ekonomi negeri.

"Sampai sekarang kita masih memegang kepada prinsip tersebut dan masih lagi mementingkan agenda pembangunan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat.

"Saya tidak melihat sebarang keperluan. Saya melihat di Johor itu tidak sepatutnya dijadikan contoh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Pasca Banjir Kampung Baru Ampang anjuran Pejabat Ahli Parlimen Gopeng dan ADUN Simpang Pulai bersama Econsave di Pertubuhan Faedah Bersama Ampang Baharu, Kampung Ampang Baru di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

Kar Hing (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada Majlis Sumbangan Pasca Banjir Kampung Baru Ampang di Pertubuhan Faedah Bersama Ampang Baharu, Kampung Ampang Baru, Ipoh pada Selasa.
Kar Hing (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada Majlis Sumbangan Pasca Banjir Kampung Baru Ampang di Pertubuhan Faedah Bersama Ampang Baharu, Kampung Ampang Baru, Ipoh pada Selasa.

Sementara itu, Kar Hing berkata, PKR Perak akan menghantar jentera mereka bagi membantu rakan-rakan mereka di dalam PRN Johor akan berlangsung nanti.

Bagaimanapun katanya, jumlah jentera dan agihan tugasan belum dimuktamadkan kerana perlu menunggu arahan daripada pimpinan parti.

Saarani dalam satu kenyataan pada Ahad memberitahu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan memberi kesan terhadap kerajaan negeri Perak.

Jelasnya, keutuhan pentadbiran kerajaan negeri terus kekal kerana mempunyai sokongan daripada parti yang menyokong kerajaan serta pembangkang.

Pada 22 Januari, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, menghadap Sultan Johor bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada jam 5 petang Sabtu.

Satu pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!