Proses pemilihan PKR ambil kira SOP pandemik

Dr Lee Boon Chye ketika hadir di Majlis Sumbangan Pasca Banjir Kampung Baru Ampang anjuran Pejabat Ahli Parlimen Gopeng dan ADUN Simpang Pulai bersama Econsave di Pertubuhan Faedah Bersama Ampang Baharu, Kampung Ampang Baru, Ipoh pada Selasa.
Dr Lee Boon Chye ketika hadir di Majlis Sumbangan Pasca Banjir Kampung Baru Ampang anjuran Pejabat Ahli Parlimen Gopeng dan ADUN Simpang Pulai bersama Econsave di Pertubuhan Faedah Bersama Ampang Baharu, Kampung Ampang Baru, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadual berlangsung pada April depan akan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Sistem Pemilihan PKR, Dr Lee Boon Chye berkata, pada dasarnya sistem pemilihan parti yang diadakan kali terakhir pada tahun 2018 tidak terlalu banyak perbezaan berbanding pemilihan kali ini.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan telah dicadangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) terutama berkaitan jumlah kehadiran di pusat mengundi dengan penyesuaian SOP pandemik Covid-19.

"Jadi kita cadangkan ada sedikit sebanyak perubahan berbanding 2018 tetapi saya tak boleh umumkan sebelum pengerusi JPP umumkan. Jadi biar pengerusi JPP yang umumkan tapi dari segi prinsipnya tidak banyak berbeza berbanding 2018.

"Mungkin kita hadapi masalah pada pemilihan 2018 kerana mobilisasi anggota yang begitu ramai ke pusat mengundi. Kita mengambil kira situasi tersebut dan ada cara lain yang boleh mengatasi masalah tersebut.

"Kita telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan JPP untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Pasca Banjir Kampung Baru Ampang anjuran Pejabat Ahli Parlimen Gopeng dan ADUN Simpang Pulai bersama Econsave di Pertubuhan Faedah Bersama Ampang Baharu, Kampung Ampang Baru di sini pada Selasa.

Sementara itu, Dr Boon Chye berkata, tiada sebarang masalah untuk pemilihan diadakan lebih awal berbanding tarikh dibenarkan bagi menangguh proses demokrasi itu kerana persediaan sudah dibuat lebih setahun.

Katanya, Jawatankuasa Sistem Pemilihan parti telah membuat persediaan awal untuk menghadapi pemilihan itu pada bila-bila masa walaupun pembentukan JPP baharu sahaja diumumkan.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Januari lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa parti itu akan mengadakan pemilihan bagi pemegang jawatan 2022-2025 bermula dari 22 April sehingga 29 April depan.

Menurutnya, tempoh pencalonan akan diadakan pada 11 Mac sehingga 19 Mac depan manakala kesemua cabang PKR di seluruh negeri hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) bermula dari 4 Mac sehingga 27 ini diikuti Kongres Nasional pada 10 Jun hingga 12 Jun.