Proses pembersihan Sungai Klang selesai hari ini: MB

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja pembersihan Sungai Klang yang tercemar dengan sisa bahan kimia yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab Khamis lepas dijangka selesai pada hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembersihan telah dimulakan sejak semalam oleh pihak berkuasa dan setakat jam 10 pagi tadi, semua longkang yang mengalir ke Sungai Klang yang dicemari sisa bahan kimia itu sudah dibersihkan.

"Kita sudah mula menyedut bahan-bahan yang tercemar itu daripada kolam takungan ke dalam lori yang telah disediakan, jadi besar harapan kita agar ia dapat dipulihkan dengan segera.

"Awalnya, kita menjangkakan proses pembersihan akan mengambil masa selama dua hari, tetapi semuanya berjalan lancar sejak semalam dan hari ini saya rasa dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Melestari Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor serta penyampaian tauliah pelantikan anggota jawatankuasa kariah masjid 2019 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Turut hadir Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Di samping itu, Amirudin turut memuji tindakan cekap Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Daerah, Pejabat Tanah serta semua agensi berkaitan kerana menguruskan kejadian berkenaan dengan cepat, sekali gus dapat mengelakkan kejadian lebih bahaya berlaku.

"Setakat ini kita belum mengenal pasti lagi siapa pelaku yang membuang sisa bahan kimia berkenaan tetapi langkah awal yang kita ambil ialah membersihkan kawasan berkenaan tetapi dengan sampel yang kita ambil kita akan mengetahui siapa pelakunya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada konvensyen itu, Amirudin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 1,900 anggota jawatankuasa masjid dan surau seluruh negeri.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Amirudin menegaskan bahawa pengurusan masjid dan surau di Selangor perlu ditadbir dengan penuh komitmen dan fokus oleh semua anggota jawatankuasa bagi mengangkat institusi masjid dan surau sebagai medium pembangunan ummah. - Bernama