Mahkamah beri masa kerajaan, NFC selesai kes saman RM253.6 juta

Kerajaan tuntut NFC bayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Kerajaan tuntut NFC bayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Malaysia dan National Feedlot Corporation (NFC) diberi masa sehingga Mei depan untuk memilih sama ada menyelesaikan kes saman secara baik atau meneruskan perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.

Ia membabitkan kes saman berhubung tuntutan kerajaan supaya syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Untuk rekod, Syarikat NFC itu diuruskan oleh suami serta tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada Selasa, prosiding ditetapkan untuk sambung bicara di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Anand Ponnudurai.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding dengan suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail selaku defendan kedua untuk memberi keterangan.

Namun, prosiding ditangguhkan selepas NFC memohon untuk penangguhan bagi penyelesaian kes saman itu.

“Pihak-pihak akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai status penyelesaian kes pada 17 Mei.

“Jika gagal untuk mencapai sebarang penyelesaian, perbicaraan akan diteruskan pada tarikh itu hingga 20 Mei depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak defendan telah mengemukakan lima saksi untuk prosiding itu.

Perbicaraan kes saman itu bermula 13 Januari 2020 dengan tujuh saksi plaintif dan seorang saksi defendan telah selesai memberi keterangan.

Kerajaan selaku plaintif tunggal, menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala Mohamad Salleh dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain ialah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Dakwa plaintif, pinjaman itu disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Kerajaan mendakwa daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional manakala baki dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Dakwa plaintif, dana sebanyak RM9.76 juta digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh defendan keenam iaitu National Meat & Livestock Corp dan pada masa sama, sebanyak RM300,000 dipercayai digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bagi tujuan yang tidak didedahkan manakala RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

Kerajaan mendakwa keluarga Mohamad Salleh telah menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara dan membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara.