Pekerja Bangladesh menangis didenda RM10,000 rasuah polis

Tertuduh (tengah) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku bersalah beri rasuah kepada pegawai polis, Mac tahun lalu.
Tertuduh (tengah) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku bersalah beri rasuah kepada pegawai polis, Mac tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja warga Bangladesh menangis selepas Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atas tuduhan rasuah terhadap seorang pegawai polis, Mac tahun lalu.

Hossain Md Shakib, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa warga Bangladesh di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid pada Selasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu secara rasuah memberi suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM150 kepada Inspektor C Sathyaseelan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, sekitar jam 2.50 petang bertempat sebelum jalan keluar Plaza Tol Sungkai dalam daerah Batang Padang, 10 Mac 2021.

Suapan itu sebagai balasan kepada pegawai polis itu untuk melepaskan dirinya dan dua rakan warga Bangladesh daripada diambil tindakan undang-undang di bawah kesalahan Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal kemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh yang telah empat tahun bekerja di negara ini menangis dan merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain memiliki dua anak, tertuduh yang berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan juga perlu menyara lima ahli keluarga yang lain di negaranya.