Bangunkan kawasan luar bandar

Amanat disampaikan Ku Abd Rahman pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.
Amanat disampaikan Ku Abd Rahman pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menggariskan lima fokus strategik, 20 strategi dan 72 program dalam Pelan Strategik KEDA 2021-2025 bagi membangunkan kawasan luar bandar sehebat kawasan bandar.

Pengerusinya, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, fokus strategik pertama merangkumi memperkasa pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam luar bandar yang lengkap dan berkualiti dalam wilayah KEDA.

Menurutnya, pelan tersebut turut memberi fokus untuk membangunkan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik dan memantapkan pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar dalam wilayah KEDA.

“Seterusnya, kita juga memberi tumpuan dalam memperkasakan usahawan KEDA luar bandar dalam wilayah KEDA dan memantapkan keupayaan kapasiti organisasi.

“Selain itu, pelan itu juga akan memberi tumpuan penuh kepada kumpulan sasar dalam kawasan operasi KEDA seperti masyarakat luar bandar, golongan miskin tegar, petani, penternak, usahawan desa, institusi kepimpinan masyarakat, institusi koperasi, wanita, belia, kanak-kanak serta pelajar,” katanya.

Ku Abd Rahman (tengah) menunjukkan buku Pelan Strategik KEDA 2021-2025 yang telah dilancarkan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.
Ku Abd Rahman (tengah) menunjukkan buku Pelan Strategik KEDA 2021-2025 yang telah dilancarkan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Strategik KEDA bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Khairul Azmeer Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, Ku Abd Rahman menjelaskan, Pelan Strategik KEDA 2021-2025 digubal berpandukan gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.

“Terdapat tiga objektif utama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Kamarudin (kiri) dan Khairul Azmeer (kanan) turut meneliti buku Pelan Strategik KEDA selepas majlis pelancaran di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.
Kamarudin (kiri) dan Khairul Azmeer (kanan) turut meneliti buku Pelan Strategik KEDA selepas majlis pelancaran di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.

“Dasar Pembangunan Luar Bandar pula menetapkan aspirasi dalam melahirkan masyarakat luar bandar yang sejahtera melalui pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Tambah Ku Abd Rahman, ia termasuk sosial, ekonomi, budaya dan persekitaran menjadi rujukan di samping memastikan pembangunan berimbang dan saling melengkapi.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa lima fokus strategik yang terkandung dalam pelan strategik selama lima tahun itu mampu dilaksanakan sebaik mungkin, sekali gus berjaya dicapai.

Sementara itu, Kamarudin meluahkan pandangan bahawa KEDA tidak memiliki masalah untuk mencapai lima fokus strategik dalam tempoh yang ditetapkan.

Ku Abd Rahman (tengah) pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Strategik KEDA bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.
Ku Abd Rahman (tengah) pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Strategik KEDA bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, Alor Setar pada Isnin.

Beliau memaklumkan, sebanyak RM46.4 juta peruntukan pembangunan KEDA telah diperuntukkan tahun ini melibatkan 19 projek sambungan dan empat projek baharu.

Jelasnya, peruntukan tertinggi adalah teras prasarana dengan peruntukan sebanyak RM35.5 juta bersamaan 77 peratus untuk 11 projek sambungan dan satu projek baharu.

“Sebanyak 23 peratus lagi peruntukan melibatkan teras ekonomi (RM9 juta), keusahawanan (RM1.5 juta) dan modal insan (RM1.4 juta) membabitkan pelbagai projek terutamanya untuk usahawan di wilayah KEDA,” katanya.