Hujan batu landa beberapa kawasan di KL: MetMalaysia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian hujan batu dan angin kencang telah melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur bermula sekitar jam 4 petang pada Isnin.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan imej radar dan satelit, awan hujan dan ribut petir aktif mula dicerap memasuki Kuala Lumpur sekitar jam 3.30 petang.

Bagaimanapun katanya, hujan batu adalah satu fenomena yang biasa terjadi di negara ini.

"Hujan batu berlaku ketika kejadian ribut petir yang kuat berserta hujan lebat dan angin kencang.

"Apabila awam kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12 kilometer, suhu udara di dalam awan tersebut melepasi nilai ambang tahap beku dan pembentukan ketulan-ketulan ais di atas lapisan tersebut.

"Ais yang terbentuk di dalam awan turun bersama-sama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, penduduk di beberapa kawasan di ibu negara dikejutkan dengan kejadian hujan batu pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku di beberapa kawasan antaranya Ukay Perdana dan Wangsa Maju.

Artikel Berkaitan:

Fenomena itu menjadi tular di laman media sosial apabila netizen mula berkongsi perihal hujan batu tersebut.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi menambah, titisan hujan yang terbentuk sebagai ketulan-ketulan air batu kebiasaannya bersaiz kecil sekitar 1.5 cm iaitu sebesar guli.

"Kejadian hujan batu ini lazimnya berlaku setempat iaitu kawasan yang berada di bawah awan kumulonimbus.

"Tempoh kejadian hujan batu juga agak singkat iaitu sekitar 10 hingga 20 minit sahaja," ujarnya.

Katanya, untuk kejadian ribut petir pada tempoh tersebut, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir pada jam 2.55 petang meliputi kawasan Kuala Lumpur dan amaran berkuat kuasa sehingga jam 6 petang.

Untuk sebarang maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi.

Orang awam juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut.