Elak konflik pelihara keharmonian di tempat kerja

Pandemik Covid-19 telah banyak merubah cara manusia bekerja dan berfikir. - Gambar hiasan 123rf
Pandemik Covid-19 telah banyak merubah cara manusia bekerja dan berfikir. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 telah banyak merubah cara manusia bekerja dan berfikir. Dalam satu tempoh yang panjang, pejabat menjadi kosong dan lengang, semua pekerjaan dilakukan secara atas talian.

Semuanya berjalan tanpa kehadiran fizikal. Pada awalnya pandemik dilihat sebagai penyekat kebebasan, terkurung serta terasing dalam keadaan yang tiada siapa dapat menjangkakan.

Hanya kepercayaan, sikap bertanggungjawab dan kejujuran menjadi kunci untuk memastikan tugas yang telah diamanahkan diteruskan dalam situasi yang hanya diri sendiri yang tahu bagaimana dan apa yang harus dilakukan.

Sebagai pentadbir, menghadapi situasi ini tentu sahaja mencabar. Ketika inilah peranan komunikasi yang berkesan amat penting untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Ketika datangnya dugaan Covid-19, mahu tidak mahu setiap yang berkerja dalam pelbagai sektor telah sekurang-kurangnya menguasai penggunaan medium yang paling asas.

Paling cepat dan murah adalah penggunaan aplikasi WhatsApp untuk membolehkan komunikasi dua hala dilakukan. Namun begitu setiap teknologi itu pasti ada keterbatasannya.

Cubaan menyelesaikan masalah kadangkala berubah menjadi konflik kerana salah faham ketika proses komunikasi itu berlaku.

Tafsiran mengenai hantaran mesej boleh sahaja menjadi positif atau negatif tergantung kepada keadaan seseorang menerima apa yang hendak disampaikan.

Artikel Berkaitan:

Di sinilah peranan pentadbir untuk mengelakkan konflik dan belajar menangani permasalahan dengan meletakkan keharmonian dan empati sebagai keutamaan.

Kini dalam fasa endemik kesemua organisasi samada yang kecil atau yang besar sudah beransur-ansur kembali ke pejabat. Meninggalkan keserasian bersama ‘work from home’ dan mencari kembali keserasian bekerja secara bersemuka serta harus bermula seperti keadaan sebelum hadirnya pandemik dua tahun yang lalu.

Walaupun ada yang makin selesa dengan bekerja dari rumah, mahu atau tidak arahan organisasi mesti dipatuhi kerana ada tanggungjawab yang memerlukan keberadaan kakitangan secara tampak.

Komunikasi sudah kembali dilakukan secara fizikal dan keadaannya sudah seperti sediakala. Akan tetapi setiap yang mentadbir perlu cuba mencari rentak dan bergerak seiring dengan perubahan. Motivasi bekerja perlu sentiasa diberikan.

Cakna dengan persekitaran dan perubahan suasana bekerja dalam kalangan kakitangan adalah satu kemestian. Mendengar dan memahami sebelum membuat keputusan tidak akan merugikan mana-mana pihak. Apatah lagi jika sepenuh perhatian diberikan dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kakitangan sesebuah organisasi akan lebih terbuka sekiranya mereka didengari. Seseorang yang mentadbir perlu melihat secara objektif dan elakkan berpihak dan memberi tanggapan peribadi yang pada akhirnya bercanggah dengan amalan dan nilai sesebuah organisasi.

Mendengar bukan bererti bersetuju tanpa arah tujuan. Mendengar adalah bersifat lebih memahami dan membantu dalam membuat keputusan yang tepat dan adil

Begitu juga dipihak kakitangan dalam sesebuah organisasi. Komunikasi secara terus atau telus lebih baik daripada komunikasi bersifat peribadi. Kepentingan peribadi wajar dikesampingkan daripada dicampur aduk dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Bagaimanapun, konflik yang terjadi tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif semata-mata. Seharusnya ia diterima sebagai pintu kepada percambahan idea yang lebih baik, secara tidak langsung memberi dorongan kepada kakitangan supaya berani melontarkan pandangan yang sekaligus dapat menyerlahkan bakat dan potensi mereka.

Seperti kata Mary Parker Follet, seorang ilmuan yang pakar dalam ilmu pengurusan dalam organisasi, adalah penting sebagai orang yang mentadbir dan mengurus untuk mewujudkan suasana harmoni dan positif sebagai asas kukuh yang menyokong organisasi kerana pengurusan adalah seni mencorakkan kebersamaan manusia dalam merealisasikan matlamat yang telah direncanakan.

*Rohayu Ruwati Ibrahim adalah Penolong Pendaftar Kanan (Pentadbiran), Fakulti Komunikasi dan Pengjiaan Media, UiTM, Shah Alam

*Mohd Rafede Abdul Aziz adalah Penolong Pendaftar Kanan (Akademik), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam.