Malaysia pertimbang longgar SOP pelancong asing

Ismail Sabri menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, pada Selasa. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) terhadap pelancong asing yang lengkap vaksinasi dan menerima suntikan penggalak.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bergantung kepada penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sesetengah negara sudah mengurangkan SOP kepada pelancong, mungkin perkara ini boleh dipertimbangkan," katanya dalam ucapan majlis amanat bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Selasa.

Menurutnya, SOP yang terlalu ketat terhadap pelancong asing boleh memberi kesan kepada industri.

"Pelancong asing masih belum masuk ke negara kita kerana sektor pelancongan belum dibuka sepenuhnya walaupun pelancongan domestik telah beroperasi," katanya.

Beliau memberitahu, Malaysia terus kekal mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pembukaan sempadan antarabangsa.

"Kita sudah memulakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan Singapura dan berbincang bersama Indonesia serta Thailand untuk VTL terpaksa ditangguhkan," katanya.

Ismail berkata, tindakan itu terpaksa diambil kerana peningkatan jangkitan yang tinggi di luar negara.

Beliau turut memaklumkan kerajaan tidak lagi akan mengenakan sekatan pergerakan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Dua hari lepas sengaja saya umumkan kita tidak akan tutup pergerakan kerana sudah ada khabar angin di media sosial yang tidak boleh balik kampung pada hari raya. Kita ni, hari raya paling utama. Perniagaan bakal ditutup.

"Saya tengok di Instagram, sambutan mengenai perayaan di kampung sangat tinggi," katanya.

Ujarnya, polisi melaksanakan vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah membawa Malaysia menjadi salah satu negara terbaik dalam vaksinasi penduduk.

"Lebih 98 peratus rakyat yang telah diberi vaksinasi dua dos, sekarang ini dalam peringkat (pemberian) dos penggalak," katanya.