Terbuka Australia: Halep akui Cornet kental

Simona Halep - Foto AFP
Simona Halep - Foto AFP
A
A
A

PEMENANG Grand Slam dua kali dari Romania, Simona Halep menyifatkan perlawanan menentang pemain Perancis, Alize Cornet di pusingan keempat Terbuka Australia dalam cuaca panas terik sebagai sesuatu yang memenatkan.

Malah pemain berusia 30 tahun yang berstatus ranking ke- 15 dunia itu terpaksa akur kepada lawannya yang berusia 32 tahun berkedudukan ke-61 dunia apabila tewas 6-4, 3-6, 6-4, dalam 2 jam 33 minit dalam aksi yang suhu mencecah 33 Celsius di Arena Rod Laver.

Halep yang juga bekas pemain nombor satu dunia memberi kredit kepada Cornet apabila menyifatkan lawannya itu merupakan seorang pemain berjiwa kental.

Halep yang terlepas beberapa bulan beraksi pada 2021 kerana kecederaan, mendedahkan dia tidak mempunyai kebimbangan mengenai kecederaan semasa perlawanannya, hanya dengan bahang.

“Saya tiada kecederaan, ini bagus. Hanya kepanasan yang mengganggu permainan saya pada awal set pertama. Saya berasa sakit, berasa sedikit pening.

“Sukar untuk bermain dalam keadaan panas, dan saya cukup tidak bersedia hari ini. Cornet sedikit lebih kuat, dan itulah sebabnya dia boleh memenangi perlawanan,” katanya.

Halep menambah: “Saya sangat gembira apabila berada di Australia pada kali ini. Saya banyak bergelut pada tahun lepas, dan cara saya bangkit pada kali ini sangat bagus.

"Saya gembira tentang itu, dan hanya akan mengambil yang positif hasil perlawanan ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan: