Masa depan badminton Malaysia makin gelap

Zii Jia - Foto Bernama
Zii Jia - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS persaraan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, kita begitu teruja dengan kemunculan pemain muda, Lee Zii Jia yang diyakini mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Malangnya, harapan tinggi pada Zii Jia tidak kesampaian. Gara-gara mahu tinggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau dikenakan hukuman dilarang mewakili negara selama dua tahun bermula 18 Januari lalu.

Hukuman terhadap pemain muda itu sememangnya cukup berat apatah lagi ketika ini adalah kemuncak dalam kariernya sebagai pemain.

Negara pasti terasa akan kehilangannya apatah lagi tahun 2022 adalah tahun yang paling sibuk untuk sukan antarabangsa termasuk badminton.

Ini kerana tahun ini pelbagai kejohanan besar akan diadakan, ini termasuklah Sukan Asia di Hangzhou, China; Sukan Komanwel di Birmingham, England; Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand dan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.

Itu belum termasuk siri jelajah dunia anjuran Persekutuan Dunia Badminton (BWF).

Ketiadaan Zii Jia memberikan tamparan hebat terhadap skuad badminton lelaki negara.

Barisan pemain negara kini kebanyakannya masih muda dan kurang pengalaman.

Artikel Berkaitan:

Siapakah yang patut dipersalahkan dalam soal ini? Adakah BAM perlu bertanggungjawab? Adakah corak latihan dan tunjuk ajar oleh jurulatih tidak bagus? Atau pemain sendiri yang patut ditegur kerana tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan?

Sudah ada banyak pihak mendesak supaya kepimpinan BAM dirombak. Namun adakah pertukaran pemimpin boleh mengubah negara kita kembali menjadi jaguh dunia suatu hari nanti?

Kegemilangan sukan badminton negara di era 60an-70an seperti tidak akan kembali lagi. Samalah seperti bola sepak, mutu permainan badminton negara sudah makin menurun berbanding dengan negara-negara lain.