Tiada masalah untuk guru berpolitik: Mohd Helmi

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Helmi)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Helmi)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO Pontian, Mohd Helmi Buang berpandangan bahawa tidak ada masalah sekiranya guru sekolah dibenarkan untuk berpolitik.

Ujar beliau, guru-guru mempunyai hak sekiranya mereka ingin terlibat dalam politik.

Kata Mohd Helmi, jika dilihat dari sudut pengaruh kepada sistem pendidikan, pelajar telah pun terdedah dengan perkembangan politik di platform media sosial.

“Kalau kita nak bandingkan dengan dahulu, kita tidak ada media sosial.

“Hari ini, walaupun guru tidak menyatakan pengaruh kepada mereka tetapi mereka sendiri telah terdedah kepada perkara tersebut.

“Jadi pada saya, tidak ada menjejaskan apa-apa pengaruh kuat kepada pelajar-pelajar sebab mereka pada hari ini sudah boleh berfikir ke arah mana mereka nak bawa politik mereka itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, Kerajaan memutuskan untuk membenarkan guru dan petugas Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kembali berpolitik dan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini ada pekeliling yang menyekat guru dari berpolitik dan ramai pendidik diberikan amaran dan diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Helmi menyarankan supaya guru-guru tidak dibenarkan membawa agenda politik peribadi atau parti politik mereka di dalam sistem pendidikan sekiranya dibenarkan berpolitik.

“Kalau dapat pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahu mereka berkempen contohnya di dalam kelas, mereka ini boleh diambil tindakan.

“Tetapi kalau di luar, itu terpulang kepada mereka. Di sekolah kalau ada pilihan raya, mereka berkempen di dalam kelas, itu tidak dibenarkan,” ujarnya.