KPDNHEP sita produk salah guna logo halal

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang memeriksa produk yang menyalahgunakan penandaan logo halal pada barangan mereka.
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang memeriksa produk yang menyalahgunakan penandaan logo halal pada barangan mereka.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan sebuah premis di Bukit Tengah di sini yang menyalahgunakan penandaan logo halal pada barangan mereka.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 11 pagi itu oleh tiga pegawai penguatkuasa berjaya merampas pelbagai barangan yang bernilai RM54,402.90.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, didapati premis mengeluarkan beberapa jenis barangan seperti minyak bijan, minyak biji sawi, air ros, air lemuju dan kapur yang menggunakan penandaan logo halal tanpa diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa.

"Sehubungan itu, kita telah menyita 4,392 unit minyak bijan, 3,192 unit minyak biji sawi, 7,968 unit air ros, 2,580 unit air lemuju dan 5,916 unit kapur yang disyaki menggunakan penandaan logo halal tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Ridzuan berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman bagi bukan pertubuhan perbadanan, didenda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang memeriksa premis yang didapati mengeluarkan produk menggunakan penandaan logo halal tanpa diperakukan pihak berkuasa berwibawa.
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang memeriksa premis yang didapati mengeluarkan produk menggunakan penandaan logo halal tanpa diperakukan pihak berkuasa berwibawa.

Jelasnya, bagi pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana peniaga supaya beretika serta tidak menggunakan penandaan halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menyalahgunakan logo halal tanpa kebenaran.

"Orang ramai boleh menyalurkan atau membuat aduan sekiranya mempunyai maklumat pihak yang menyalahgunakan penandaan logo halal melalui Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Pulau Pinang di talian 04-3840245.

"Aduan juga boleh dibuat di Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) menerusi talian 03-8882 6088 / 03-8882 6245 atau Portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800," katanya.