Polis buka dua kertas siasatan berkaitan himpunan

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah membuka dua kertas siasatan berkaitan dua perhimpunan di Restoran Amjal dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar di sini pada Jumaat dan Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Kanun Keseksaan dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Perhimpunan itu sebagai tanda protes terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Amihizam berkata, penyiasatan pihaknya adalah berdasarkan pemantauan di lokasi perhimpunan yang mendapati sekumpulan orang berkumpul dan berarak dengan kapasiti yang berlebihan dan bertentangan dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

"Berdasarkan tapisan senarai nama yang telah dibuat oleh pihak polis, jumlah butiran diri aktivis dan peserta yang dikenalpasti menyertai perhimpunan di LRT Bangsar adalah seramai 78 orang yang terdiri daripada 26 aktivis.

"Manakala seramai 16 orang aktivis dan 12 pengunjung awam dikenalpasti hadir dalam perhimpunan di Restoran Amjal," katanya.

Beliau berkata, tiada tangkapan dan rampasan dijalankan di kedua-dua perhimpunan tersebut.

"Sebanyak sembilan aktivis yang hadir semasa perhimpunan di LRT Bangsar dan 10 aktivis yang hadir semasa perhimpunan di Restoran Amjal telah dirakam keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga turut merakam keterangan saksi-saksi lain di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah," ujarnya.

Menurutnya, gambar tempat kejadian, gambar aktivis yang memberikan ucapan dan video semasa perhimpunan juga telah dirakam.

"Perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan kepada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan," tegasnya.