RM460 juta laksana PKPN tingkat taraf hidup nelayan

Ronald (empat dari kiri) selepas Majlis Pecah Tanah Projek PSN di Benting Lintang di sini pada Isnin.
Ronald (empat dari kiri) selepas Majlis Pecah Tanah Projek PSN di Benting Lintang di sini pada Isnin.
A
A
A

BESUT – Kerajaan telah menyalurkan peruntukkan berjumlah RM460 juta setakat ini bagi melaksanakan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) sebagai usaha meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan berpendapatan rendah di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu melibatkan projek bina baharu rumah nelayan, baik pulih rumah nelayan dan Penempatan Perumahan Semula Nelayan (PSN).

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM197 juta diperuntukkan untuk program PSN di seluruh negara dengan 1,772 rumah telah diluluskan pembinaannya sehingga 30 November lalu.

“Bagi kategori baik pulih, sebanyak 23,511 rumah nelayan sudah dibaiki melibatkan kos keseluruhan RM247 juta manakala RM14 juta lagi disalurkan untuk membina 253 rumah baharu nelayan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek PSN di Benting Lintang di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, sebanyak 150 rumah nelayan telah diluluskan untuk program PSN di Terengganu melibatkan peruntukkan sebanyak RM13 juta.

Beliau berkata, rumah dengan prasarana asas itu dibina di tiga lokasi iaitu Pulau Sekepeng di Kemaman, Kampung Seberang Penarik di Setiu dan Kampung Benting Lintang di Besut bagi membolehkan golongan nelayan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik serta selesa.

Ronald ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek PSN di Benting Lintang di sini pada Isnin.
Ronald ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek PSN di Benting Lintang di sini pada Isnin.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jawatankuasa Induk PKPN dipertanggungjawabkan untuk menimbang dan meluluskan permohonan PKPN.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Program PSN pula, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) merupakan agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan projek dan memastikan projek siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Jelas Ronald, kerajaan melalui LKIM terus menjaga kebajikan nelayan dengan membuat caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang memberi perlindungan kepada individu bekerja sendiri semasa bekerja.

“Untuk tahun lalu, seramai 35,200 nelayan telah dicarum dalam skim ini dan jumlah pampasan sebanyak RM113,000 telah dibayar kepada 47 orang mangsa.

“LKIM juga melalui Pinjaman Dana Nelayan telah menyediakan pinjaman mudah kepada nelayan bagi pembelian bot, peralatan baharu dan pinjaman modal operasi dengan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tahun ini,” katanya.