Malaysia tidak ketandusan para pemain berkualiti

Foto Badminton Association of Malaysia
Foto Badminton Association of Malaysia
A
A
A

MALAYSIA tidak akan ketandusan para pemain berkualiti pada masa depan....

Itu luahan pemain beregu wanita negara, Teoh Mei Xing, bukti sukan badminton negara masih berada di landasan yang betul selepas dua beregu Malaysia cemerlang pada Kejuaraan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India pada Ahad.

Pada aksi final di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das itu, pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul juara beregu lelaki manakala Anna Ching-Mei Xing pula meraih gelaran juara beregu wanita.

Pilihan keenam kejohanan, Wei Chong-Kai Wun mengecewakan wakil tuan rumah Krishna Garaga-Vishnuvardhan Panjala 21-18, 21-15 dalam tempoh 33 minit manakala pilihan kelapan kejohanan, Anna-Mei Xing memerlukan 32 minit untuk mengesahkan kemenangan ke atas pemain India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-12, 21-13.

Mei Xing pemain berusia 25 tahun yang baharu sahaja meraih kejuaraan pertama tahun ini bersama Anna menegaskan bahawa Malaysia kini boleh menaruh harapan kepada mereka dan pasangan negara di ranking ke-16 dunia Pearly Tan-M Thinaah untuk mencipta kegemilangan.

“Kami masih belum bersaing dengan pemain di ranking teratas, saya tidak mahu kata kita sangat yakin untuk menewaskan mereka tapi saya percaya setiap pemain beregu wanita akan menjadi lebih hebat,” katanya dalam rakaman video kepada media pada Isnin.

Sementara itu, Wei Chong gembira dengan kejayaan mereka menewaskan pasangan Krishna-Vishnuvardhan.

"Ini dalah final Super 300 pertama kita. Kita tidak fikir hendak menang ke kalah, kita cuma fikir hendak buat yang terbaik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wei Chong berkata, beliau dan Kai Wun berharap untuk meningkatkan lagi prestasi mereka dan memperbaiki ranking mereka daripada ke-65 kepada kelompok 30 terbaik.