MITI kenal pasti lima sektor utama di bawah inisiatif NIA

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengenal pasti lima sektor utama di bawah inisiatif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang mampu menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur sama ada melalui penyelidikan dan pembangunan atau kemudahan pembuatan menggunakan teknologi baharu.

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor berkenaan adalah elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan kimia.

"Lima sektor ini merupakan antara sektor pertumbuhan ekonomi baharu yang dikenal pasti ketika kita merangka NIA dan ia selari dengan hasrat inisiatif NIA iaitu memfokuskan kepada pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi.

"Melalui inisiatif ini, peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi akan tercipta untuk rakyat tempatan dan memperkukuhkan daya saing negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana MITI dan Agensi 2022 di sini pada Isnin.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, MITI turut komited untuk meneraju agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelaksanaan NIA.

"Agenda ESG ini secara khususnya, akan memberi impak besar kepada industri automotif.

"Dalam hal ini, MITI akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kita mencapai objektif Dasar Automotif Nasional dan memenuhi sasaran pelepasan sifar bersih gas rumah hijau (GHG) menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: