X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Pesakit jantung hampir terpedaya dakwaan negatif dos penggalak

Pengayuh beca, Tay Thien Chai, 58, (kiri) menerima suntikan dos penggalak Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Melaka Mall pada Isnin. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Mempunyai dua ‘stent’ jantung akibat penyakit jantung yang dialaminya serta pelbagai dakwaan kesan negatif dos penggalak vaksin Covid-19 di media sosial, membuatkan S Shekar, 58, pada mulanya enggan mendapatkan suntikan tersebut.

Walaupun telah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19, penjawat awam itu masih ragu-ragu tentang dos penggalak dan menolak dua kali janji temu menerusi MySejahtera sebelum ini kerana gusar kesihatannya terjejas.

Bagaimanapun, hasil nasihat ahli keluarga yang telah mendapatkan dos penggalak, dia berjaya 'mematikan' segala pemikiran negatif yang bersarang di kepalanya.

"Keraguan saya timbul kerana banyak cerita dan dakwaan negatif tentang dos penggalak dan kerana masalah kesihatan, memang mulanya saya enggan merisikokan diri untuk terima suntikan ini," katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan dos penggalak Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Melaka Mall di sini pada Isnin.

Shekar berkata, setelah berfikir panjang dan enggan membiarkan kebimbangan menghantui dirinya, dia akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak secara jumpa terus pada Isnin.

Dia turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakwaan negatif di media sosial, sebaliknya mendapatkan nasihat dari pelbagai pihak serta membaca berita tentang dos penggalak dari sumber yang sahih.

Bagi Azman Ab Ghani, 60, kerajaan terutama Kementerian Kesihatan pastinya telah membuat kajian terperinci mengenai keperluan dos penggalak sebelum pengambilannya disaran kepada rakyat.

Peniaga itu yang hadir secara jumpa terus untuk mendapatkan dos penggalak Sinovac berkata, keputusan mengambil dos penggalak adalah untuk melindungi dirinya serta keluarga, selain yakin dengan saranan kerajaan.

"Pada saya dos penggalak tidak ada masalah cuma di media sosial ada macam-macam berita, tapi pada saya jangan risau... selebihnya kita tawakal kepada Allah kerana ia untuk kebaikan semua," katanya.

Sementara itu, pengayuh beca Tay Thien Chai, 58, berkata, pengambilan dos penggalak bukan sahaja untuk melindungi dirinya ketika bekerja, tetapi juga memudahkannya untuk memperbaharui lesen beca dan memasuki mana-mana premis.

"Kalau ada (pengayuh beca) yang tak mahu suntik langsung dan dia tidak dapat perbaharui lesen beca, jadi tak dapatlah bekerja," katanya yang sudah 38 tahun membawa beca.

Thien Chai yang berasal dari Tengkera di sini mendapat tarikh janji temu suntikan dos penggalak menerusi MySejahtera pada Isnin.

Sementara itu, Pengurus PPV Melaka Mall, Abu Zar Ghifari Abd Rahman berkata, orang ramai yang terlepas atau belum menerima tarikh janji temu, boleh hadir secara jumpa terus di PPV berkenaan yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum, bermula 8.30 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, PPV berkapasiti kira-kira 2,000 orang itu turut menyediakan laluan khas untuk warga emas, orang kurang upaya dan ibu mengandung.

"Di PPV ini kita ada dos penggalak jenis Pfizer serta Sinovac dan penerima boleh membuat pilihan, namun ia juga bergantung pada bekalan yang diterima dari bank vaksin kita.

"Selalunya kita akan beri tarikh janji temu kepada 1,700 penerima tetapi kebiasaannya antara 1,400 hingga 1,500 orang yang akan hadir. Memang banyak peluang untuk yang lain mendapatkan dos penggalak di sini," ujarnya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!