KBS, PKBM, Human Voyage duduk semeja bincang LTdL 2022

KBS akan mengadakan pertemuan dengan Human Voyage dan PKBM pada Khamis ini bagi membincangkan status penganjuran LTdL 2022.
KBS akan mengadakan pertemuan dengan Human Voyage dan PKBM pada Khamis ini bagi membincangkan status penganjuran LTdL 2022.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan dengan Human Voyage Sdn Bhd dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada Khamis ini bagi membincangkan status penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan KBS pada Isnin, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 itu akan diadakan pada hari berkenaan dalam mencari titik persefahaman antara pihak terlibat.

"Mesyuarat ini akan turut membabitkan PKBM selaku badan induk kebangsaan serta pihak syarikat (Human Voyage) untuk bersama berbincang dan mencari titik persefahaman dengan mengambil kira kepentingan kejohanan dan penilaian risiko kesihatan awam.

"KBS ingin jelaskan yang penganjuran kejohanan LTdL 2022 adalah komitmen KBS selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi acara sukan antarabangsa serta memberi keutamaan kepada kepentingan kesihatan awam," kata Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad dalam kenyataan itu.

Pada Ahad, PKBM menerusi satu kenyataan mempertikai sikap KBS yang didakwa bertindak 'acuh tak acuh' terhadap status penganjuran LTdL 2022 yang dijadual bermula 3 Mac ini.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan, pihaknya telah mendaftar LTdL 2022 pada Jun 2021 atas inisiatif sendiri demi memastikan kejohanan itu kekal berada dalam kalendar tahunan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"KBS mengambil maklum akan kenyataan yang dikeluarkan PKBM berhubung status penganjuran LTdL 2022. PKBM antara lain menyatakan yang KBS bersikap 'acuh tak acuh' dan hanya mahu berbincang bersama syarikat penganjur, Human Voyage Sdn Bhd sahaja berkaitan penganjuran LTdL 2022.

"Sehubungan itu, KBS ingin menjelaskan yang kementerian sudah menerima permohonan rasmi daripada syarikat untuk menunda kejohanan (LTdL 2020) daripada 3 hingga 10 Mac 2022 kepada 18 hingga 26 Jun 2022.

Artikel Berkaitan:

"Antara justifikasi yang diberikan adalah peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dan membimbangkan membabitkan penularan varian Omicron di seluruh dunia.

"Keperluan untuk menjalani kuarantin wajib terutamanya bagi individu dari negara yang disenaraikan berisiko varian Omicron oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penstrukturan semula strategi pemasaran dan pengkomersialan termasuklah membabitkan hak siaran agar tidak bertindih dengan kejohanan di Eropah," jelas Mohd Azhari.