Kerjasama Pas, UMNO dalam PRN Johor masih terbuka

Abdullah (tengah) mengadakan sidang media berkenaan persiapan jentera Pas Johor dan isu kerjasama parti itu dengan UMNO di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Isnin.
Abdullah (tengah) mengadakan sidang media berkenaan persiapan jentera Pas Johor dan isu kerjasama parti itu dengan UMNO di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor menghormati hasrat Barisan Nasional (BN) negeri itu yang mahu bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, bagaimanapun ruang untuk menjalin kerjasama dengan UMNO masih terbuka dalam PRN tersebut.

"(Menteri Besar Johor) Datuk Hasni Mohammad selaku pimpinan tertinggi UMNO negeri boleh membuat kenyataan itu, tetapi keputusan muktamad hanya boleh diputuskan pimpinan tertinggi Pas dan juga UMNO.

"Ini kerana BN dan UMNO Johor juga terikat dengan keputusan peringkat pusat sama seperti Pas Johor, jadi soal kerjasama dalam PRN akan datang kita serahkan kepada pusat tentukan.

"Tetapi apa yang saya tahu, ketika ini masih ada ruang untuk kami menjalin kerjasama dalam PRN sekali gus menubuhkan kerajaan negeri yang diyakini akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda di sini pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Karim Deraman.

Pada Ahad, Hasni memaklumkan BN Johor berhasrat bertanding secara solo dalam PRN kerana yakin mampu memperoleh majoriti dua pertiga.

DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, SPR memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan urusan PRN tersebut.

Tarikh penting itu melibatkan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pertemuan Muafakat Nasional (MN) negeri melibatkan Pas dan UMNO Johor sepatutnya berlangsung pada Isnin tetapi ditangguhkan ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan.

Pihaknya berharap tarikh baharu bagi pertemuan antara kedua-dua parti berkenaan akan ditetapkan dalam waktu terdekat.

"Sepatutnya pertemuan itu berlangsung hari ini, tetapi kita ditahan ia ditangguhkan terlebih dahulu, mungkin kerana Pengerusi UMNO Johor (Hasni) sedang sibuk.

"Bagaimanapun kita akan menunggu tarikh baharu untuk pertemuan itu diadakan, harapnya dalam tempoh beberapa hari ini dan bukan terus dilupakan," katanya.