X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Laluan KT Bypass akan dibuka April nanti

Fadillah (tiga) dari kanan diberi taklimat tentang projek pembinaan KT Bypass ketika meninjau projek berkenaan di Bukit Bayas, di sini pada Isnin.
A
A

KUALA TERENGGANU - Projek pembinaan Kuala Terengganu (KT) Bypass yang sebelum ini mengalami kelewatan, dijangka siap pada April nanti dan akan dibuka kepada pengguna menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, projek menelan kos sebanyak RM220 juta itu dijangka siap pada September, namun pihak kontraktor memberi komitmen untuk disiapkan lima bulan lebih awal.

“Projek dimulakan pada tahun 2016 ini mengambil masa lebih lima tahun untuk disiapkan kerana beberapa masalah teknikal, termasuk pengambilan tanah dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.

“Walaupun sepatutnya siap pada September, kontraktor sudah memberi komitmen untuk siapkan lebih awal iaitu pada April, saya harap tiada lagi masalah dan laluan ini dapat dibuka kepada orang ramai,” katanya selepas meninjau projek KT Bypass di sini pada Isnin.

Menurut Fadillah, kemajuan projek KT Bypass kini sudah mencapai tahap 92 peratus, iaitu 18 hari lebih awal berbanding jadual dan ia bakal memberi manfaat kepada lebih 70,000 penduduk sekitar terutama di bandar baharu Bukit Besar.

Beliau berkata, projek pintasan sejauh hampir 6 kilometer itu dirancang untuk mengelak kenderaan daripada memasuki bandar raya Kuala Terengganu dengan tujuan mengurangkan kesesakan seterusnya menjimatkan jarak dan masa perjalanan pengguna.

“Laluan baharu ini akan mengurangkan kesesakan di dalam pusat bandar dan pada masa sama menjimatkan tempoh perjalanan pengguna jalan raya dari Kuantan ke Kota Bharu dan sebaliknya sehingga 30 minit,” katanya.

Projek KT Bypass melibatkan pembinaan jalan baharu empat lorong bermula dari persimpangan Tok Molor, Kuala Ibai dan berakhir di Kampung Durian Burung dengan piawaian rekabentuk Jabatan Kerja Raya (JKR).

Turut dibina ialah lima buah jejambat dan melibatkan skop menaiktaraf dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada persimpangan bertingkat.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!