Najib mohon Queen's Counsel wakilinya di Mahkamah Persekutuan

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan supaya Queen's Counsel (QC) dapat mewakilinya prosiding pendengaran rayuan akhir berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya di Mahkamah Persekutuan pada Selasa.

Queen's Counsel ialah peguam kanan senior dan berpengalaman dari United Kingdom (UK).

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, perkara itu dimaklumkan oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau berkata, peguam Najib memaklumkan firma guaman Muhammad Shafee akan memfailkan permohonan itu pada Selasa.

"Dalam pada itu, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 15 dan 16 Mac depan untuk pendengaran permohonan Datuk Seri Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuannya.

"Bagaimanapun, tarikh pendengaran rayuan utamanya, masih belum ditentukan," katanya ketika dihubungi media selepas pengurusan kes berkenaan yang dibuat secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Siti Hajar Mustaffa.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Artikel Berkaitan:

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan, tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Antara bukti itu ialah dakwaan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bersekongkol dengan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low atau Low Taek Jho berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International.