Demi anak, Jasmin Hamid buat laporan polis

Jasmin Hamid - Foto:Instagram Jasmin Hamid
Jasmin Hamid - Foto:Instagram Jasmin Hamid
A
A
A

PELAKON Jasmin Hamid tampil membuat laporan polis dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen yang telah menghina anak angkatnya.

Kesal dengan sikap biadap sesetengah netizen yang menulis pelbagai kecaman tidak berasas termasuk mempersendakan wajah anak perempuannya itu yang dikatakan seakan ‘bapok’, Jasmin tekad melindungi anaknya daripada terus menjadi mangsa buli siber.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Jasmin meluahkan rasa kesal dan dalam masa yang sama memberi amaran untuk menyaman netizen yang masih mengeluarkan kenyataan penghinaan dan menghasut berkaitan isu tersebut.

“Kepada para netizen bully cyber yang telah mencela anak perempuan saya, boleh tunggu saman dari saya.

“Ada lebih dari 15 nama di dalam police report yang akan diambil tindakan undang-undang di atas tindakan mencela yang tidak berasas di IG dan fb saya serta blog. Segala butiran bully cyber telah ada pada pihak polis!

“Saya sebagai seorang ibu sudah pasti akan melindungi anak-anak saya dan mohon hak perlindungan dari pihak berkuasa sebagai seorang warganegara Malaysia. Ini janji saya kepada kedua arwah ibu bapa saya dan kepada ALLAH untuk menjaga keluarga hingga akhir hayat saya,” luahnya.

Tambah Jasmin lagi, tindakan itu diambil selepas netizen semakin agresif melemparkan fitnah dan penghinaan terhadap anaknya itu.

“Jika selama ini saya hanya abaikan dan block segala negative comments tapi kali ini saya bertegas mengambil tindakan kepada netizen cyber bully yang tidak bertanggungjawab serta agresif melemparkan celaan kepada anak perempuan saya tanpa sebab yang munasabah.

Artikel Berkaitan:

“Adakah anda tidak merasa takut mencela anak yatim? saya tak minta duit sesiapa pun untuk membesarkan anak saya. Mereka ni pun bukan supporters saya!

“Pihak berkuasa sentiasa menunggu butiran cyber bully yang masih ingin melemparkan celaan atau fitnah di laman sosial saya untuk diambil tindakan undang-undang! Saya harap tiada lagi nama-nama yang akan ditambah di dalam list cyber bully ini selepas ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jasmin mengharapkan kejadian ini menjadi pengajaran buat mereka di luar sana agak sentiasa berhati-hati dan tidak sesuka hati mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur negatif terhadap orang lain di media sosial.

“Moga ini boleh dijadikan iktibar buat para cyber bully sebelum memberi sebarang komen yang ada unsur-unsur negatif di laman sosial sesiapa sahaja.

“Terima kasih kepada supporters saya yang mengirimkan negative comments untuk saya bawa ke pihak berkuasa dan pihak pengadilan. Terima kasih juga kepada supporters saya yang tidak henti-henti beri semangat dan doa buat saya dan keluarga saya,” tulisnya panjang lebar.