Pucuk pimpinan Bersatu belum minta senarai calon

Tosrin (tengah) menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina daripada Yayasan Sejahtera MPKu di Dewan Raya Putra Bandar Putra Kulai pada Isnin.
Tosrin (tengah) menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina daripada Yayasan Sejahtera MPKu di Dewan Raya Putra Bandar Putra Kulai pada Isnin.
A
A
A

KULAI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dijangka mengadakan mesyuarat berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Selasa atau Rabu ini.

Ketua Bersatu Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanthi berkata, mesyuarat yang dijangka dihadiri 26 Ketua Bahagian Bersatu Johor itu akan dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berhubung nama calon-calon DUN daripada Bersatu Johor, beliau berkata, pucuk pimpinan parti masih belum meminta senarai calon daripada bahagian Bersatu.

"Kami masih menunggu amanat daripada Presiden, Tan Sri Muhyddin Yassin berhubung PRN Johor pada mesyuarat terbabit. Bagaimanapun mesyuarat tersebut masih belum diputuskan lokasinya.

"Setakat ini, kami belum menerima sebarang petunjuk atau surat rasmi daripada pucuk pimpinan parti untuk kemukakan nama calon," katanya selepas Program Penyerahan Bantuan Tahun Baharu Cina di Dewan Raya Putra, Bandar Putra di sini pada Isnin.

Bagaimanapun menurut sumber Bersatu, mesyuarat tersebut akan diadakan di ibu negara.

Pada program itu, Tosrin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor menyampaikan sumbangan barangan makanan dari Yayasan Sejahtera Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) kepada 150 warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Tosrin berkata, beliau bersedia sekiranya diberikan peluang oleh pucuk pimpinan untuk mempertahankan kerusi Bukit Permai yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di semua kerusi DUN di Kulai iaitu di DUN Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai.

"Sekiranya parti masih perlukan khidmat saya sebagai calon, saya akan pertahankannya. Yang pasti PN akan tandingi ketiga-tiga kerusi DUN di Kulai.

"Bagi kerusi Bukit Batu, saya difahamkan ia pernah dimenangi oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebelum ini. Jadi, ia akan dipertimbangkan dengan mengambil kira strategi parti," katanya.