Dua syarikat penerbangan baharu galak persaingan sihat: Azmin

SKS Airways
SKS Airways
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik kebenaran yang diberikan kepada dua syarikat penerbangan baharu, SKS Airways Sdn Bhd dan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) untuk beroperasi di Malaysia.

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemberian lesen kepada syarikat penerbangan itu dijangka membantu industri penerbangan untuk kembali pulih daripada impak pandemik, selain menggalakkan persaingan sihat.

"Industri penerbangan merupakan antara industri yang terkesan akibat Covid-19 dan bukan sahaja syarikat penerbangan tempatan, malah, syarikat global turut terkesan.

"Namun, memandangkan kebanyakan negara telah membuka sempadan dan meningkatkan promosi sektor pelancongan, ini dapat membantu sektor penerbangan mencerdaskan semula aktiviti mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana MITI dan Agensi 2022 di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah atau kapasiti penumpang yang akan menggunakan pesawat ini masih rendah berikutan kebanyakan pelancong berhati-hati untuk melancong disebabkan varian Omicron Covid-19 yang belum reda.

"Oleh itu, saya rasa industri penerbangan masih memerlukan masa untuk kembali ke tahap yang normal,” katanya.

SKS Airways yang dimiliki Kumpulan SKS yang berpangkalan di Johor dan diasaskan ahli perniagaan Alan Sim See Kiong, akan memulakan penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor bermula 25 Januari ini.

MYAirline diterajui oleh beberapa pengarah berpengalaman antaranya bekas Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Abd Hamid Mohd Ali dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, telah menerima kebenaran untuk memulakan perkhidmatan bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan: