Selangor tubuh jawatankuasa khas urus perubahan iklim

Amirudin (tengah) turut menyampaikan sumbangan peribadi iaitu sebuah basikal elektrik untuk kegunaan unit pengurusan banjir negeri pada majlis berkenaan.
Amirudin (tengah) turut menyampaikan sumbangan peribadi iaitu sebuah basikal elektrik untuk kegunaan unit pengurusan banjir negeri pada majlis berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu jawatankuasa khas perubahan iklim negeri bakal ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi mengurus dan mendepani segala kemungkinan termasuk bencana akibat perubahan iklim.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian diberi tanggungjawab bagi mengetuai jawatankuasa tersebut.

“Saya sudah bangkitkan pada mesyuarat exco yang lepas. Jadi, dalam tempoh seminggu dua lagi akan ditubuhkan (jawatankuasa khas perubahan iklim negeri).

“Yang Berhormat Hee Loy Sian akan memanggil tokoh akademik dan NGO (badan bukan kerajaan) alam sekitar untuk kita sedia mendepani sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Amirudin ketika menyampaikan amanat berkata, semua pihak termasuk penjawat awam harus bekerja lebih keras menghadapi kemungkinan bencana termasuk banjir pada bila-bila masa.

Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan bencana seperti bulan lalu berulang pada masa akan datang yang menuntut persediaan dan pergerakan pantas pihak berkaitan.

“Saya berterima kasih kepada pegawai daerah yang tak tidur, menerima kritikan dan mendapat bantahan tetapi masih terus bekerja keras laksana perubahan.

Artikel Berkaitan:

“Suasana akan datang mungkin lebih kerap. Silap-silap tiga tahun lagi boleh berlaku (bencana) kerana ini yang sedang kita hadapi,” katanya.