X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Kebenaran guru berpolitik rosakkan prinsip demokrasi

Ulya Aqamah Husamudin
A
A

SHAH ALAM - Keputusan membenarkan guru dan petugas Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk kembali berpolitik akan merosakkan lagi prinsip berdemokrasi.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamuddin berkata, beliau tidak bersetuju dengan kebenaran tersebut kerana ia akan menyebabkan berlakunya konflik berkepentingan.

“Pada asalnya, penjawat awam termasuk guru tidak dibenarkan berpolitik sebab yang pertamanya kita tidak mahu ‘conflict of interest’ (konflik berkepentingan) supaya mereka dapat lakukan tugas mereka sebagai penjawat awam tanpa sebarang ‘bias’ atau berat sebelah.

“Jadi bila mereka terlibat secara langsung sebegini ia bukan menghormati prinsip demokrasi, tetapi akan merosakkan lagi demokrasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, kerajaan memutuskan untuk membenarkan guru dan petugas Kemas kembali berpolitik dan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Ulya Aqamah menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha atau taktik pelik bagi mendapatkan sokongan daripada beberapa pihak.

“Memandangkan adik-adik yang berumur 18 tahun boleh mengundi selepas ini, jadi mungkin mereka merasakan guru-guru yang memberi impak dalam pendidikan mampu menarik anak-anak muda sewaktu di sekolah lagi.

“Jadi sewaktu mereka berumur 18 tahun, iaitu setahun selepas mereka habis sekolah menengah, mereka akan memilih parti-parti tertentu,” ujarnya.

Menurutnya, keputusan membenarkan guru berpolitik itu merupakan satu perkara yang amat penting untuk dibincangkan di Parlimen dan mendapatkan persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu.

“Kalau betul hendak membenarkan, apakah ‘limitation’ (kekangan) yang perlu diletakkan.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan membuat keputusan sebegini tanpa merujuk kepada keinginan dan kemampuan guru.

“Mungkin ada juga guru-guru yang tidak ingin langsung berpolitik dan hendak fokus kepada membangunkan anak bangsa tanpa bias kepada parti-parti politik, tetapi tindakan kerajaan ini sedikit merosakkan nilai-nilai murni yang sepatutnya guru-guru dapat terapkan pada anak muda,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!