Sindiket edar dadah di Kota Setar tumpas

Mohd Roze (dua dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan dalam dua tangkapan berasingan di Kota Setar pada Rabu lalu.
Mohd Roze (dua dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan dalam dua tangkapan berasingan di Kota Setar pada Rabu lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif bergerak di daerah Kota Setar dalam dua tangkapan berasingan pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, pada awalnya sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di kawasan tempat letak motosikal di Flat Mergong di sini.

Menurutnya, serbuan pada jam 12 tengah hari itu berjaya menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi lapan paket lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 56.23 gram.

"Susulan dari tangkapan pertama, polis kemudiannya telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki pasangan suami isteri berumur 37 dan 40 tahun di tepi jalan Sungai Petani, Simpang Empat pada jam 5 petang hari yang sama.

"Pemeriksaan lanjut terhadap beg pinggang yang dipakai suspek lelaki itu telah menjumpai satu paket plastik lutsinar yang berisi bahan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 338.49 gram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Isnin.

Beliau berkata, hasil soal siasat, polis kemudiannya menyerbu rumah pasangan suami isteri terbabit di Kampung Radik, Sik kira-kira jam 7.15 malam dan menemui satu beg galas sembilan paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 5,504.59 gram di dalam sebuah bilik.

Artikel Berkaitan:

Mohd Roze menunjukkagambar rampasan dan tangkapan yang berjaya dijalankan oleh Polis Kedah.
Mohd Roze menunjukkagambar rampasan dan tangkapan yang berjaya dijalankan oleh Polis Kedah.

"Turut temui lima paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 1,596.86 gram. Hasil rampasan keseluruhan dadah jenis heroin ialah seberat 1,991.58 gram dan dadah syabu seberat 5,504.59 gram dengan nilai keseluruhan RM224,852.

"Kesemua suspek ini dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam tempoh enam hingga lapan bulan dan semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 62,000 penagih dadah," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Roze berkata, kedua-dua suspek lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis MOP.

" Kesemua suspek direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi tempoh 1 hingga 23 Januari lalu, sebanyak 914 kes dan 1,006 tangkapan melibatkan penagih dan pengedar dadah telah dicatatkan di negeri ini.