Tiada keperluan bawa pulang rakyat Malaysia di Christchurch

Marzuki Yahya
Marzuki Yahya
A
A
A

KANGAR - Tiada keperluan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Christchurch, New Zealand pada masa ini susulan tragedi tembakan di dua masjid di bandar berkenaan yang mengorbankan 49 orang, semalam.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, tragedi itu bukan peperangan tetapi angkara keganasan yang dilakukan oleh individu di tempat yang disifatkan aman dan tenteram.

Menurut Mazuki, lebih 1,200 rakyat Malaysia yang berada di bandar itu berdaftar dengan Kedutaan Malaysia dan mereka diminta untuk terus berhubung dengan kedutaan disamping dinasihatkan tidak berada di tempat awam pada masa ini.

“Kita akan mengambil langkah-langkah perlu seperti membawa mereka pulang jika keadaan menjadi lebih serius,” katanya pada sidang media mengenai penstrukturan semula parti Bersatu dan PH Perlis yang turut disertai kepimpinan DAP, Amanah dan PKR, di sini hari ini.

Marzuki berkata, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan menghubungi Timbalan Perdana Menteri New Zealand merangkap Menteri Luar, Winston Peters untuk mengetahui keadaan terkini di Christchurch.

Tiga rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian itu, manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang dan belum dapat dikesan.

Mereka yang cedera ialah Mohd Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah; Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46 dari Kelantan, manakala seorang lagi yang masih hilang ialah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, iaitu anak kepada mangsa tembakan, Mohd Tarmizi.

Pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan) semalam, seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch yang mengorbankan 49 orang manakala lebih 20 lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Suspek yang dikenali sebagai Brenton Tarrant, 28, seorang rakyat Australia telah dihadapkan ke mahkamah di Christchurch hari ini atas pertuduhan membunuh.

Semasa ditahan bersama dua suspek lain, pihak berkuasa New Zealand menemui beberapa bahan letupan daripada mereka yang digunakan dalam apa yang disifatkan sebagai serangan terancang pengganas. - Bernama