'Mentaliti Burnley kuat'

Pemain Arsenal kecewa apabila seri tanpa jaringan menentang Burnley di laman sendiri.
Pemain Arsenal kecewa apabila seri tanpa jaringan menentang Burnley di laman sendiri.
A
A
A

PENGURUS Burnley Sean Dyche memuji kekuatan mental pasukannya apabila berjaya mengutip satu mata berharga di tempat lawan ketika bertemu Arsenal dalam aksi Liga Perdana selepas dibelenggu kecederaan dan jangkitan Covid-19.

Pada aksi tersebut, skuad Clarets berjaya menahan asakan Gunners untuk mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan yang meletakkan mereka berbeza empat mata bagi mengelak penyingkiran dengan memiliki kelebihan perlawanan berbanding pasukan di atasnya.

"Mentaliti adalah perkara paling besar buat saya. Agak pelik sebenarnya untuk kami melakukan perubahan tanpa beberapa pemain utama dan beraksi dengan hanya beberapa hari berlatih.

"Kita bercakap mengenai bagaimana pemain boleh beraksi secara biasa dan saya rasa mereka melakukannya dengan baik hari ini," katanya.

Dalam pada itu, bagi pengendali Arsenal, Mikel Arteta nyata kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya pada perlawanan ini.

"Kami bermula perlahan dan tidak mempunyai rentak atau niat untuk menyerang seperti yang dimahukan.

"Kami mencuba pelbagai cara tetapi tidak mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol pada perlawanan ini," katanya.

Untuk rekod, Arsenal kini gagal memenangi lima perlawanan pertama mereka dalam satu tahun kalendar buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun.

Artikel Berkaitan:

Ia juga buat kali pertama bagi The Gunners sejak Oktober 2008 apabila mereka tidak berjaya menewaskan pasukan di tangga tercorot liga di laman sendiri.