Ahmad Zahid akur keputusan Mahkamah Tinggi

Ahmad Zahid ketika mengadakan sidang media selepas pembacaan keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Ahmad Zahid ketika mengadakan sidang media selepas pembacaan keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa beliau dan peguamnya akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Ahmad Zahid, 69, diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Menurut beliau, keputusan tersebut adalah hak mutlak Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan keakuran itu tidak terhenti pada hari ini.

"Sebaliknya apabila pembelaan diri dilakukan, maka pasukan guaman saya akan menjalankan tugas-tugas mengikut prosedur yang telah ditentukan oleh mahkamah.

"Pasukan peguam saya akan meneruskan usaha guaman ni sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah tadi dan tarikh-tarikhnya juga telah ditetapkan. Tentunya keakuran ini berdasarkan kepada sistem perundangan yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas keluar dari Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Pada Isnin, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan perkara tersebut selepas memihak kepada pasukan pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie berhubung kes itu.

Ahmad Zahid akan diberi tiga pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara pilihan terakhir, Ahmad Zahid memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, B Muralidharan, pengurup wang, Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan@Ramly.

Perbicaraan bermula pada 18 November 2019.

Ahmad Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.