Kad Sihat Johor belum wujud?

4b88
4b88
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan program Kad Sihat Johor yang diumumkan Kerajaan Negeri telah pun bermula dan diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.

Adun Layang-Layang (BN), Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia berikutan pelaksanaan inisiatif yang juga manifesto PH negeri itu dilihat tidak mempunyai butiran jelas serta tiada mekanisme menunjukkan ia telah dilakukan.

Menurutnya, persoalan itu timbul selepas dirinya yang mahu menyemak laman sesawang permohonan kad itu tetapi mendapati yang ia masih belum wujud.

“Semalam Datuk Hasni (Mohammad) ada bertanya berapa jumlah capaian untuk laman sesawang Kad Sihat Johor ini. Jadi saya sendiri periksa dan hasilnya laman web itu tiada, tidak wujud.

“Ketika ditanya semalam, Exco maklumkan pihaknya masih belum menyemak perkara itu dengan betul. Macam mana dia kata sudah periksa laman web itu, sebagai Exco dia kena profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai memberi ucapan perbahasan pada Persidangan Dewan Negeri Johor ke-14, di sini, hari ini.

Onn berkata, melihat kepada situasi itu, Kerajaan Negeri sepatutnya tidak boleh lagi mengumumkan mereka telah melaksanakan semua manifesto yang dijanjikan.

Dalam masa sama, beliau turut meminta Kerajaan Negeri memberi penjelasan mengenai kesahihan peruntukan yang ditetapkan bagi pelaksanaan inisiatif itu di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin bertanya kesahihan peruntukan yang diberi...betul ke ia berjumlah RM150,000 untuk satu negeri kerana jika dibahagikan kepada 10 daerah, setiap daerah hanya akan mendapat RM15,000.

“Dan jika itu jumlahnya, setiap Dun hanya ada lima penerima, tidak mungkin satu kawasan Dun hanya lima orang yang layak,” katanya.