X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

BSMM akan agih dana bantuan RM1.2 juta dari Geneva

Gambar Hiasan
A
A

SHAH ALAM - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan mengagihkan dana bantuan dalam bentuk baucar tunai bernilai kira-kira 300,000 Swiss Francs (lebih RM1.2 juta) yang dijangka memanfaatkan lebih 2,000 keluarga yang terkesan banjir di negara ini, baru-baru ini.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, pertubuhan itu telah memperoleh bantuan daripada Ibu Pejabat Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dan menjadi tanggungjawab BSMM untuk mengagihkannya dalam masa tiga bulan.

"Mereka (mangsa banjir) akan dikenal pasti oleh ahli kita yang akan pergi rumah ke rumah bagi mendapatkan maklumat kerosakan dan sama ada terdapat dalam kalangan keluarga mangsa banjir tersebut orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan keperluan khas atau sebagainya.

"Maklumat ini akan dikenal pasti dan dikumpul, dijangkakan 2,000 keluarga (yang terlibat dengan banjir) akan menerima sedikit wang dari Geneva,” katanya kepada pemberita semasa Program Bantuan Pascabanjir BSMM Selangor di sini pada Ahad.

Pada program itu sebanyak 130 keluarga yang terjejas banjir pada Disember lalu menerima agihan bantuan bernilai RM322 setiap keluarga, berupa barangan antaranya periuk nasi, dapur masak, cerek elektrik, tuala mandi, selimut, tilam dan bantal, membabitkan penyumbang korporat dan individu.

Sementara itu, menurut Tunku Puteri Intan Safinaz selain bantuan dana dari Geneva, BSMM turut menerima sumbangan lain daripada rakyat dan akan diagihkan kepada negeri lain yang turut terbabit dalam banjir.

"Ini adalah amanah yang kita lakukan bagi pihak rakyat Malaysia yang telah bermurah hati menderma dan memberi sokongan kepada BSMM,” katanya. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!