X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

'Saya hadir sebagai MB'

Saarani (dua dari kiri) menandatangani plak simbolik merasmikan Arena Sukan Aulong pada Ahad.
A
A

TAIPING - Amalan politik matang perlu diterapkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak demi menjaga kebajikan rakyat termasuk di kawasan pembangkang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perbezaan fahaman politik perlu diketepikan kerana jawatannya sebagai Menteri Besar (MB) itu sendiri perlu berlaku adil kepada semua rakyat dan pemimpin lain.

Menurutnya, kehadiran beliau ke program pembangkang tidak seharusnya disalahertikan oleh pihak lain.

"Ada yang salah faham dengan kehadiran saya dalam program hari ini adalah kerana DAP. Itu perlu diperbetulkan kerana saya hadir sebagai MB manakala Nga Kor Ming sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong.

"Walaupun ada perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi saya yakin bahawa politik matang yang kita laungkan ini perlu dilaksanakan dan bukan laungan semata-mata," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arena Sukan Aulong di sini pada Ahad.

Saarani berkata, berdasarkan pengalaman beliau berpandangan bahawa kerajaan negeri seharusnya berusaha berlaku adil kepada setiap rakyat.

"Saya memberi peruntukan sama kepada semua ADUN pembangkang supaya mereka dapat berbelanja untuk kebajikan rakyat. Harus diingat bahawa rakyat kawasan pembangkang juga perlukan pembangunan.

"Apabila kerajaan terdahulu tidak beri peruntukan pembangkang, rakyat kawasan itu tidak dapat manfaatnya dan saya juga pernah jadi pembangkang.

"Dari situ kita belajar bahawa siapa juga yang menjadi kerajaan dia perlu buat kebajikan kepada seluruh rakyat Perak dan itulah yang kita buat kini," katanya.

Katanya, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, namun amalan politik matang perlu ditonjolkan terutama kepada golongan muda.

"Kita ada pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas, kita perlu tunjukkan politik matang supaya mereka ini memahaminya dan dari sudut jangka panjang, mereka inilah yang akan mentadbir negara.

"Pengundi baharu ini tidak boleh mengundi mengikut sohor kini, mereka tidak boleh seronok-seronok memilih kerana keburukan dan kebaikan itu ditentukan mereka," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!