Sivarasa dakwa SPRM sengaja buka semula kes lama pegawainya

Sivarasa
Sivarasa
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula pendakwaan terhadap seorang pegawainya adalah bertujuan mencemarkan imej pusat perkhidmatannya.

Beliau mendakwa, kes dakwaan rasuah empat tahun lalu itu juga dipercayai ditimbulkan semula kerana tindakan pihaknya membangkitkan kontroversi pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, ini kerana siasatan dilakukan terhadap beberapa pegawainya termasuk Pengurus Pusat Khidmat Parlimennya, Naveen K Rasiah pada 2017 berkenaan kesalahan rasuah berkaitan rasuah membabitkan pemberian permit pekerja asing itu tidak disusuli dengan sebarang pertuduhan.

“Tiada pertuduhan dikenakan terhadap mana-mana kakitangan saya termasuk Naveen selepas dibebaskan daripada reman. Saya yakin bahawa jika ada bukti salah laku di pihak Naveen atau yang lain telah ditemui, SPRM akan mendakwa serta-merta.

“Kini hampir empat tahun setengah telah berlalu sejak siasatan itu selesai pada September 2017. Tiada tindakan diambil terhadap Naveen pada masa itu dan sebenarnya fail itu sepatutnya telah ditutup.

“Kini, sebulan selepas saya membangkitkan isu pemilikan saham Azam Baki di Parlimen pada 14 Disember 2021, dakwaan yang tidak mempunyai asas telah tiba-tiba telah dihidupkan semula oleh SPRM untuk mendakwa kakitangan saya Naveen,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sivarasa memaklumkan Naveen telah dipanggil oleh SPRM pada 21 Januari lalu dan diberikan surat menyatakan bahawa dia akan didakwa atas kesalahan rasuah pada pagi Isnin.

Sementara itu, Sivarasa berkata, dalam siasatan kes tersebut pada 2017, tiga orang pegawai pusat khidmatnya termasuk Naveen telah dipanggil atas dakwaan kesalahan cubaan meminta wang daripada seorang ahli perniagaan, Monomiah Siddikur sebagai balasan untuk menggugurkan isu rasuah membabitkan warga Bangladesh itu.

Artikel Berkaitan:

Sivarasa sebelum itu telah membangkitkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia mengenai kesalahan rasuah dilakukan oleh Monomiah yang didakwa telah mendapatkan permit pekerja warga Bangladesh dengan menggunakan dokumen rekaan.

Mengulas lanjut, Sivarasa berkata, tindakan dilakukan SPRM itu dilihat hanya akan merosakkan reputasi agensi tersebut.

“Tindakan balas SPRM ini hanya akan merosakkan reputasi SPRM kerana ia akan dilihat sebagai didorong oleh faktor peribadi dan motif tersembunyi.

“Jika SPRM fikir ini akan membuat saya atau rakan-rakan saya di Parlimen berundur tentang perkara ini isu, mereka benar-benar silap.

“Saya berharap Perdana Menteri ( Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan melihat bahawa integriti sebuah institusi utama SPRM bakal tercemar teruk dengan tindakan balas tersebut. Kenyataan beliau tentang memerangi rasuah akan kelihatan lebih dan lebih hampa,” ujarnya.