X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Penduduk Langkawi, Selatan Thailand doakan kesembuhan Tun M

Majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang dianjurkan oleh 14 wilayah di Satun, Selatan Thailand selepas Zuhur pada Ahad mendoakan kesejahteraan Dr Mahathir.
A
A

ALOR SETAR - Penduduk Pulau Langkawi dan Selatan Thailand mendoakan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali sihat dan dapat meneruskan khidmat untuk rakyat.

Penyelaras Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Langkawi, Shukor Bahari berkata, semua ahli dan kepimpinan parti bersama penduduk tempatan berharap Ahli Parlimen Langkawi itu diberikan kesembuhan segera selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurutnya, anjuran majlis bacaan Yasin dan doa selamat diadakan di kebanyakan masjid dan surau di pulau lagenda itu untuk mendoakan kesihatan Dr Mahathir, tidak terkecuali program sama diadakan di Selatan Thailand.

“Seluruh penduduk Langkawi sentiasa mendoakan semoga Dr Mahathir cepat sembuh. Saya percaya semua golongan walaupun daripada pelbagai latar belakang politik sayangkan negarawan itu tanpa mengira fahaman ideologi parti politik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat selepas Zuhur yang dipimpin oleh Yang Dipertuanya, Ismail Awang pada Ahad.

“Di 14 wilayah Selatan Thailand pula, majlis sama turut diadakan dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Islam Wilayah Phuket yang juga Naib Presiden Persekutuan Jawatankuasa Islam 14 Wilayah Selatan, Leftenan Kolonel Polis Dr Komol Dumlak,” katanya.

Shukor memaklumkan, majlis bacaan Yasin dan doa selamat untuk kesembuhan Dr Mahathir diadakan di sembilan masjid, surau di Langkawi pada malam Ahad.

“Antaranya, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat melibatkan Masjid Ewa, Masjid Lama Kampung Bohor Berendam, Surau Taman Nilam 1 di Kisap, Masjid Jamek Al Qodim (Masjid Lama) Ulu Melaka.

“Manakala di kawasan DUN Kuah diadakan di Surau Kampung Padang Lalang, Masjid Bukit Malut, Surau Kampung Sungai Tepa di Bukit Malut,” katanya.

Shukor (kiri) bersama Dr Mahathir ketika beliau turun padang melawat kawasan sekitar Langkawi. (Gambar kecil: Normardiana, Amar Pared)
Shukor (kiri) bersama Dr Mahathir ketika beliau turun padang melawat kawasan sekitar Langkawi. (Gambar kecil: Normardiana, Amar Pared)

Menurutnya lagi, jasa dan sumbangan Pengerusi Pejuang itu terhadap pulau peranginan Langkawi begitu banyak apabila merubah wajah pulau nelayan itu kepada pulau pelancongan bertaraf antarabangsa.

Penduduk, Normardiana Che Mazlan, 32, berharap bekas Perdana Menteri yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia itu segera pulih dan sihat seperti sebelumnya.

“Semua orang sayangkan Dr Mahathir, bukan sahaja penduduk Langkawi atau Kedah. Jasa beliau kepada negara terlalu besar dan wajar untuk kita kasihkan negarawan itu. Kami doakan beliau segera pulih kerana khidmatnya masih diperlukan,” katanya.

Amar Pared Mahamud, 31, memaklumkan, bermula Sabtu, pelbagai pihak di Langkawi termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penduduk kampung telah mengadakan bacaan Yasin bagi memohon kesembuhan agar Dr Mahathir diberikan kesihatan yang baik.

“Jasa dan sumbangan beliau tiada siapa dapat nafikan. Berbeza ideologi politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mana-mana pihak meragui sumbangan beliau. Sebagai golongan muda, kami tetap hargai Dr Mahathir,” kata pengasas merangkap Setiausaha Pertubuhan Komuniti Langkawi (LCO).

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari.

Beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari IJN dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari.

Datin Paduka Marina yang merupakan anak kepada Dr Mahathir memaklumkan keadaan bapanya stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!