X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Rakyat tidak mahu terus 'semak' dengan isu: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia sudah tidak mahu hidup mereka terus-terusan ‘disemakkan’ dengan isu dan kemelut tidak sudah yang melanda negara, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sebaliknya rakyat mengharapkan keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan dikembalikan di Malaysia.

“Kita terpaksa menerima hakikat Malaysia memulakan tahun baharu 2022 dengan langkah kiri, kurang sebulan Januari bermula, terlalu banyak kemelut dan isu yang menyemakkan kepala rakyat berlaku.

“Ini termasuk pergeseran antara agensi kerajaan, isu berkaitan umrah, larangan pakai songkok dan kopiah serta Identifikasi Frekuensi Radio (RFID). Kesemua yang terjadi memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada masyarakat.

“Rakyat tidak mahu kehidupan mereka 'disemakkan' dengan isu-isu yang menambah kerunsingan sedia ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau menegaskan, kestabilan politik, ekonomi dan hubungan antara kaum merupakan kunci kepada kesejahteraan negara.

Tambahnya, kestabilan negara dapat dikembalikan seandainya Malaysia kembali ditadbir oleh kerajaan yang kukuh, dominan, berpengalaman dan mempunyai trek rekod dalam membangunkan Malaysia.

“Pendapat ini bukan berlebihan atau berunsurkan retorik, tetapi berlandaskan fakta dan kebenaran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia pernah berada di tangga ke-35 dalam Ranking of Happiness berdasarkan World Happiness Report 2018, bagaimanapun setahun kemudian Malaysia telah jatuh di kedudukan ke-80.

Kemudian Malaysia jatuh ke tangga ke-82 berdasarkan World Happiness Report pada tahun 2020, sebelum meningkat satu anak tangga dalam World Happiness Report 2021.

“Selepas lebih tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tiada tanda-tanda kedudukan Malaysia akan kembali meningkat secara signifikan.

“Justeru, kita bimbang dengan pelbagai kemelut dihadapi Malaysia hanya pada bulan pertama tahun 2022 bermula dan tidak mahu kedudukan Malaysia dalam Ranking of Happiness jatuh lebih teruk kerana implikasinya tidak baik.

“Bukan sahaja tentang persepsi masyarakat dunia terhadap Malaysia, juga pandangan golongan pelabur terhadap negara kita,” jelas beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!