PM zahir penghargaan kepada petugas bantu mangsa banjir

Kerajaan sangat menghargai komitmen dan keprihatinan kakitangan pelbagai agensi, NGO dan sukarelawan.
Kerajaan sangat menghargai komitmen dan keprihatinan kakitangan pelbagai agensi, NGO dan sukarelawan.
A
A
A

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang bekerja keras membantu ketika banjir melanda negara dua kali dalam tempoh singkat, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan sangat menghargai komitmen dan keprihatinan kakitangan pelbagai agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang sangat menitikberatkan kebajikan mangsa banjir, bukan hanya semasa bencana itu sebaliknya diteruskan sehingga pascabanjir.

"Saya hargai semua pihak yang bertungkus lumus sewaktu dan selepas banjir terutama dalam membersihkan rumah mangsa banjir selain kawasan awam.

"Terima kasih atas sumbangan anda yang membolehkan isu banjir ditangani dengan baik di Bera sehingga peringkat menyampaikan sumbangan juga berjalan baik,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sekalung Budi Kepada Petugas-Petugas Banjir Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas di sini pada Ahad.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Banjir berjumlah RM2,500 bagi setiap isi rumah yang terkesan akan diberikan secara tunai kepada mangsa banjir daerah Bera dalam masa terdekat.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 agensi, jabatan dan penghulu yang bertugas semasa banjir antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: